Maritim rampas 45 set bubu naga

Anggota Maritim Malaysia mengangkat bubu naga yang dipasang.
Anggota Maritim Malaysia mengangkat bubu naga yang dipasang.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas 45 set bubu naga di empat lokasi berbeza sekitar satu batu nautika barat Sungai Jawi, pada Selasa.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, rampasan itu dibuat semasa rondaan rutin Op Benteng Laut dan Op Pertiwi antara jam 5 petang hingga 5.45 petang di perairan Pulau Pinang.

Menurutnya, bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan beberapa pelampung mencurigakan di permukaan air dan disyaki penanda bubu naga.

"Pemeriksaan di keempat-empat lokasi telah menemukan sejumlah 45 set bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM5,400.

"Kesemua bubu naga berkenaan dirampas serta dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Bubu naga yang dirampas di empat lokasi berbeza sekitar satu batu nautika barat Sungai Jawi, pada Selasa.
Bubu naga yang dirampas di empat lokasi berbeza sekitar satu batu nautika barat Sungai Jawi, pada Selasa.

Abd Razak berkata, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

Jelasnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

"Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini," katanya.

Beliau berkata, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh dilakukan dengan menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.