PAC kesal ahli dipanggil siasatan polis dakwaan sertai perhimpunan

Kah Woh berkata kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi DUN Menglembu di Dewan Orang Ramai Lahat, Ipoh pada Rabu.
Kah Woh berkata kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi DUN Menglembu di Dewan Orang Ramai Lahat, Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kesal dengan tindakan polis memanggil seorang ahlinya, Wong Shu Qi yang merupakan Ahli Parlimen Kluang untuk disiasat atas dakwaan menyertai perhimpunan pada 2 Ogos lalu.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, pada tarikh itu, Shu Qi perlu berada di bangunan Parlimen untuk menghadiri mesyuarat PAC tetapi dihalang pada awalnya oleh pihak polis yang melakukan sekatan jalan raya ke Parlimen.

Jelas beliau, semua ahli PAC mempunyai surat kebenaran untuk hadir ke mesyuarat berkenaan termasuk Shu Qi tetapi dihalang sebelum dibenarkan setelah beberapa rundingan dengan pihak polis dibuat.

"Di sini, saya ingin mendesak Ketua Polis Negara supaya mengarahkan pihak polis untuk menghentikan segala kacau ganggu ke atas ahli-ali PAC yang hadir mesyuarat PAC pada 2 Ogos lalu.

"Saya ingin menegaskan bahawa pihak polis bukan sahaja tidak harus jalankan siasatan ke atas mana-mana ahli PAC tetapi pada masa sama mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan iaitu tidak ada seorang pun dibenarkan untuk menghalang ahli Parlimen daripada melaksanakan tugas," katanya kepada pemberita ketika ditemui meninjau Program Outreach Vaksinasi DUN Menglembu di Dewan Orang Ramai Lahat, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Shu Qi pada Selasa yang menerima notis daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas dakwaan terlibat dalam perhimpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka di sini, pada 2 Ogos lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, pada mesyuarat PAC itu juga, Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut hadir.

Menurutnya, semua sedia maklum pada hari kejadian ahli-ahli Parimen terpaksa berkumpul di Dataran Merdeka kerana dihalang memasuki Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Ahli-ahli PAC yang pada awalnya tidak dibenarkan masuk akhirnya diberi kebenaran untuk mengadakan mesyuarat berkenaan.

Pada Selasa, Shu Qi terkejut menerima notis berkenaan dan menafikan penglibatannya dalam sebarang bentuk perhimpunan kerana pada hari sama beliau berada di Parlimen untuk menghadiri mesyuarat PAC tersebut.