Bekas kakitangan JAIM direman kes seleweng kutipan gaji guru kontrak

Suspek berusia 36 tahun direman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret di Ayer Keroh pada Selasa.
Suspek berusia 36 tahun direman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret di Ayer Keroh pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) direman selama lima hari bermula Selasa bagi membantu siasatan kes penyelewengan kutipan bayaran gaji guru kontrak bernilai lebih RM195,000.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 36 tahun dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Suspek berbaju lokap jingga SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada jam 8.35 pagi dan permohonan reman itu mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit.

Difahamkan, suspek ditahan lebih kurang jam 11.45 pagi Isnin di pejabat SPRM Melaka selepas dipercayai terlibat dalam penyelewengan kutipan bayaran lebihan gaji guru kontrak bernilai RM195,765.75.

Suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bayaran balik emolumen lebihan gaji kakitangan guru agama kontrak Jabatan Agama Islam Melaka berjumlah RM195,765.75, sedangkan bayaran tersebut tidak diterima oleh jabatan itu dari tahun 2017 hingga 2018.

Penahanan suspek bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Mohd. Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan permohonan reman berkenaan.

Artikel Berkaitan: