Covid-19: Guan Eng kontak rapat, bicara kes rasuah ditangguhkan

Prosiding kes rasuah berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang babitkan Guan Eng di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, ditangguhkan selepas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilaporkan jalani tempoh kuarantin.
Prosiding kes rasuah berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang babitkan Guan Eng di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, ditangguhkan selepas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilaporkan jalani tempoh kuarantin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Prosiding kes rasuah berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng, di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, ditangguhkan selepas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilaporkan menjalani tempoh kuarantin.

Ketika prosiding sambung bicara di hadapan Hakim Azura Alwi, peguam, Gobind Singh Deo memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya didapati menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 baru-baru ini.

Menurutnya, Ahli Parlimen Bagan itu diperintah untuk menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari di rumahnya, bermula 1 September lalu.

“Oleh itu, kami dengan rendah diri memohon agar tarikh sambung bicara yang dijadualkan sehingga Jumaat dilapangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah permohonan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan 6 hingga 10 September, 22 hingga 24 September dan 13 hingga 17 Disember depan untuk perbicaraan kes.

Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan projek pembinaan ialan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi disambung 22 September ini.