MBK pasang 10 CCTV, elak pokok hiasan dicuri

MBK memasang CCTV di Jalan Wong Ah Jang di sini bagi mengelak kejadian kecurian pokok bunga hiasan yang ditanam situ.
MBK memasang CCTV di Jalan Wong Ah Jang di sini bagi mengelak kejadian kecurian pokok bunga hiasan yang ditanam situ.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memasang 10 kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi penanaman pokok bunga hiasan bagi mengelak kejadian kecurian terus berulang.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, pemasangan kamera keselamatan itu terpaksa dibuat memandangkan sudah banyak pokok bunga yang ditanam bagi tujuan pengindahan landskap di sekitar bandar raya ini dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Kita terpaksa pasang CCTV bagi mengesan individu yang mencuri pokok ditanam di kawasan sekitar Taman Fas, Jalan Bypas dan di sekitar Jalan Wong Ah Jang.

"Pemasangan CCTV ini perlu dilaksanakan bagi memastikan semua pokok bunga hiasan yang ditanam boleh hidup sekali gus dapat mengindahkan kawasan Bandaraya Kuantan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Norkamawati berkata, pada penghujung Ogos lalu, pihaknya mendapati 150 pokok bunga hiasan spesis 'ixora sunkist' bernilai RM2,500 yang ditanam di sekitar Kuantan telah dicuri.

"Tergamak mereka mencuri ketika MBK sedang giat menanam pokok bunga hiasan dan tindakan ini dianggap keterlaluan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perbuatan terbabit akan menyebabkan usaha yang dilakukan untuk melihat Bandaraya Kuantan menjadi cantik terbantut.

"Kita perlu menerapkan mentaliti kelas pertama dalam kalangan warga Kuantan supaya mampu memajukan bandar raya ini dan mencapai agenda transformasi yang diusahakan," katanya.

Artikel Berkaitan: