Ras Adiba cadang KBS perkasa potensi atlet OKU

Ras Adiba - Foto Bernama
Ras Adiba - Foto Bernama
A
A
A

KERAJAAN perlu terus melipatgandakan usaha pemerkasaan dan pembangunan orang kurang upaya (OKU) di Malaysia dalam bidang sukan selaras dengan komitmen dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, kata Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Beliau yang mewakili golongan orang kurang upaya (OKU) di Dewan Negara berkata, kejayaan atlet OKU dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini membuktikan golongan itu berkemampuan dan berkebolehan dalam mengharumkan nama Malaysia di persada dunia dalam sukan.

Justeru, beliau menggariskan beberapa cadangan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memastikan golongan itu terus cemerlang dalam bidang berkenaan.

Beliau mencadangkan agar atlet elit pekak diterima masuk ke program Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persedian seperti atlet arus perdana dan atlet para dengan semua kemudahan yang setaraf dan berterusan.

"Keduanya, pemberian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) untuk atlet pekak yang menang pingat di Sukan Deaflympics, Sukan Orang Pekak Asia Pasifik dan Sukan Orang Pekak ASEAN serta Kejohanan Jenis Sukan Orang Pekak Antarabangsa.

"Ketiga, Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) diangkat sebaris dengan SUKMA (Sukan Malaysia) dan Para SUKMA serta dibantu penganjurannya kerana ia adalah sukan terbesar peringkat kebangsaan bertujuan mencungkil pelapis dan bakat baharu untuk orang pekak Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ras Adiba juga meminta Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) menyediakan peruntukan kepada JBS negeri untuk diberikan kepada Ahli Gabungan Negeri (AGN) Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) bagi persiapan ke SOPMA.

Cadangan lain termasuk pembinaan sekolah sukan pertama bagi OKU; penyediaan kemudahan sokongan seperti fisioterapi dan sokongan dana; memastikan fasiliti dan kemudahan mesra OKU di stadium, kompleks sukan dan padang serta memberi peluang atlet para yang tidak lagi beraksi menjadi jurulatih.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyambut baik cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk meminda Akta OKU 2008 dalam usaha memberi lebih kemudahan dan akses kepada golongan istimewa itu.

"Saya berharap agar Menteri Belia dan Sukan dapat mewujudkan satu kanvas visi sukan negara yang khusus buat pemerkasaan OKU dalam sukan,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada skuad atlet paralimpik Malaysia yang telah membawa pulang tiga pingat emas dan dua perak dari temasya sukan itu yang disifatkan sebagai sejarah paling cemerlang sejak 1972. - Bernama