Susahnya nak masuk bank sekarang

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan nie jarang sangatlah berurusan di kaunter bank, almaklumlah duit bukannya berkepuk-kepuk sangat pun dalam akaun.

Biasanya tekan-tekan duit guna mesin ATM sahaja.

Tetapi beberapa hari lalu oleh kerana ada urusan kecemasan kewangan, terpaksa juga beratur depan pintu bank seawal 9 pagi. Punyalah semangat sebab takut ramai orang, bank pun belum dibuka lagi waktu itu.

Selepas beratur kira-kira 15 minit, beberapa orang di depan Merak Jalanan tiba-tiba menyebut mengenai slot 'temu janji'.

“Cik ada buat temu janjikah untuk masuk bank,” tanya seorang pak cik di depan Merak Jalanan.

Merak Jalanan menggeleng sebab terkejut, sejak bila pula nak berurusan di kaunter bank pun kena buat temu janji.

Kami enam orang yang sedang beratur di depan pintu bank akhirnya hampa apabila baru mengetahui ada peraturan baharu diperkenalkan oleh pihak bank. Barulah kami menyedari ada satu nota bersaiz kertas A4 ditampal di dinding bank.

Difahamkan langkah itu terpaksa dibuat berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa bulan lalu. Bank yang Merak Jalanan singgah itu memaklumkan pihaknya sudah melaksanakan peraturan temu janji itu sejak 1 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan terpaksa akur dengan peraturan itu dan terpaksa mencari jalan lain untuk menyelesaikan isu kecemasan Merak Jalanan.

Pak cik di depan penulis juga kelihatan bingung sebab katanya, kad ATM rosak jadi bagaimana mahu mengeluarkan duit.

Merak Jalanan pun cuba membuat temu janji menerusi sistem bank itu. Dan yang pasti jika anda ada kecemasan kewangan, carilah jalan lain.

Ini kerana dengan slot temu janji hanya kosong untuk empat atau lima hari kemudian, anda mungkin akan kecewa menunggu detik masuk ke bank.