AirAsia Thailand catat muatan tinggi di destinasi pelancongan utama

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AIRASIA Thailand mencatatkan faktor muatan penumpang tinggi susulan pengumuman kerajaan melonggarkan sekatan perjalanan bermula 1 September 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Thailand Santisuk Klongchaiya dalam satu kenyataan hari ini berkata, syarikat penerbangan itu telah menyambung semula 11 laluan sebagai sebahagian daripada usahanya memulakan perkhidmatan domestik secara berperingkat pada 3 September 2021, disokong oleh prosedur kesihatan dan keselamatan yang ketat.

Syarikat penerbangan itu jelasnya, menawarkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok ke Chiang Mai, Chiang Rai, Hatyai, Nakhon Si Thammarat, Narathiwat, Khon Kaen, Udon Thani, Ubon Ratchathani, Nakhon Phanom dan Roi Et sejak 3 Sept, dan penerbangan terus ke Phuket pada 8 September.

“Kami melihat sambutan positif dalam tempoh tiga hari kami memulakan semula pekhidmatan penerbangan terutamanya bagi destinasi popular seperti Chiang Mai, Chiang Rai dan Hatyai, yang mencapai faktor muatan penumpang setinggi 90 peratus.

“Kami menjangka permintaan terus mencatatkan momentum yang baik dan ini merupakan petanda yang memberangsangkan bagi perniagaan penerbangan dan industri pelancongan,” katanya.

Selepas menyambung perkhidmatan penerbangannya pada 3 Sept, AirAsia Thailand berkata penerbangan terusnya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang ke Chiang Mai, Chiang Rai dan Hatyai menjadi laluan yang paling mendapat sambutan dengan purata 80 peratus tempat diduduk ditempah antara 3 hingga 15 September 2021.

“Berikutan jangkaan permintaan yang tinggi, AirAsia Thailand merancang meningkatkan kekerapan penerbangan ke destinasi ini dengan penerbangan terus tambahan dan hubungan serantau, terutamanya bagi musim perayaan akhir tahun,” katanya.

Syarikat penerbangan itu percaya penurunan kes jangkitan Covid-19 dan kadar vaksinasi tinggi di negara itu adalah pemangkin utama bagi pemulihan perjalanan udara. - Bernama

Artikel Berkaitan: