Bajet 2022: Kerajaan teliti pemulihan pekerjaan, pendapatan

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KERAJAAN akan meneliti pemulihan pekerjaan dan pendapatan secara khusus dalam Bajet 2022, selain mengukuhkan perlindungan sosial melalui bantuan berfokus, dalam usaha untuk membina daya tahan sosio-ekonomi.

Pada sesi rundingan Bajet 2022 secara maya, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut menekankan tumpuan kerajaan terhadap pembaharuan struktur, termasuk kerjasama yang lebih erat dengan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) sebagai rakan pelaksana kerajaan untuk mencapai matlamat yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara dan Bajet 2022.

Ini sejajar dengan aspirasi jangka panjang kerajaan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Kerajaan terus komited untuk membantu mereka yang memerlukan, terutamanya rakyat yang masih terjejas oleh krisis Covid-19.

“Kami ingin mendengar bagaimana kami dapat mencapai segmen masyarakat dengan cara yang lebih berkesan, inovatif dan lebih sesuai dengan keperluan khusus masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Sesi dialog itu, merupakan anjuran Yayasan Hasanah, yayasan milik Khazanah Nasional Bhd, diadakan antara Menteri Kewangan dan wakil-wakil CSO serta perusahaan sosial untuk menggariskan cadangan bajet yang utama bagi mengukuhkan pelaksanaan program bantuan sosial.

CSO telah dikenal pasti sebagai rakan pembangunan utama kerajaan membolehkan pemulihan sosio-ekonomi yang lebih cepat dan mampan.

Dalam kenyataan, Yayasan Hasanah berkata, tempoh 18 bulan yang lepas telah menunjukkan peranan penting pertubuhan akar umbi, termasuk perusahaan sosial, NGO dan CSO, yang telah bersama-sama dan melengkapkan usaha kerajaan untuk memberi respons tepat pada masanya dan cepat.

Artikel Berkaitan:

Pada sesi tersebut, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari memberi tiga cadangan untuk terus menyokong dan mempercepat impak sosial, termasuk sokongan pembangunan organisasi jangka panjang untuk membina CSO Malaysia serantau dan global yang dapat melaksanakan program sosial yang berkualiti dan memberi impak.

Kedua, katanya perlu ada keperluan segera untuk sistem pangkalan data yang lebih dinamik, terkini dan bersesuaian bagi mengurangkan jurang dalam program kebajikan, dan ketiga, pembaharuan struktur melalui sokongan cukai serta insentif untuk perusahaan sosial dan rakan-rakan masyarakat sivil serta penderma. -Bernama