MSN mula dapatkan laporan daripada jurulatih, pegawai

Ahmad Shapawi
Ahmad Shapawi
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) sudah mula mendapatkan laporan daripada jurulatih dan pegawai yang terlibat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, untuk tujuan ‘post-mortem’ temasya berkenaan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, setelah selesai menerima laporan tersebut, pihaknya akan mengadakan bengkel dengan persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang terlibat.

Bagi Sukan Paralimpik yang baru menutup tirai pada Ahad lepas, proses itu dijangka bermula selepas pegawai dan jurulatih yang terlibat selesai menjalani kuarantin wajib 14 hari.

Beliau berkata Jawatankuasa Penilaian dan Penambahbaikan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 akan melihat hasil laporan dan maklum balas yang diberikan oleh pihak berkepentingan seperti MSN, NSA, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

“Rumusan daripada jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M Noor Azman Taib akan dibentangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk dijadikan panduan untuk perancangan menghadapi Olimpik dan Paralimpik seterusnya,” kata beliau ketika dihubungi pada Selasa.

Ahmad Shapawi berkata, pada masa ini Program Podium berjalan seperti biasa dengan MSN bersama-sama NSA yang terlibat sedang menyediakan atlet ke arah menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2022.

“Sukan SEA adalah satu lagi kejohanan yang belum pasti, tetapi kebanyakan atlet terbaik telah dinamakan oleh NSA masing-masing untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Mereka juga mungkin akan diminta bertanding di Sukan SEA Hanoi nanti, insya-ALLAH sekiranya kita membuat keputusan untuk menghantar atlet senior beraksi di temasya berkenaan yang telah ditangguhkan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Ahmad Faizal mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penilaian dan Penambahbaikan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 sebagai antara tiga agenda untuk mempersiapkan kontinjen negara bagi menghadapi Sukan Olimpik serta Sukan Paralimpik Paris 2024 dan seterusnya.

Beliau turut mengumumkan KBS akan memulakan Program Khas Olimpik dan Paralimpik daripada hasil dapatan Kajian Jawatankuasa Penambahbaikan Program Podium, yang akan menjadi hala tuju kecemerlangan sukan dan pembangunan bakat ke arah tiga kitaran Olimpik dan Paralimpik akan datang, iaitu Paris 2024, Los Angeles 2028 dan Brisbane 2032. - Bernama