PUMA taja bola rasmi Liga-M

No Image Caption
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mendapat kepercayaan dan keyakinan jenama sukan global selepas PUMA, bersama dengan rakan pengedarnya Active Sports mengumumkan kerjasama dengan badan pengelola liga itu pada Selasa.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, ia satu kelegaan kepada MFL pada ketika mereka sedang berhadapan cabaran akibat pandemik Covid-19.

"Tajaan ini menandakan kepercayaan dan keyakinan jenama sukan global PUMA terhadap jenama dan kualiti Liga Bola Sepak Malaysia yang menyaksikan peningkatan dari tahun ke tahun.

"MFL amat gembira dengan perkongsian jangka panjang ini dengan PUMA dan Active Sports di kala kami berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19. Oleh itu, kami melihat ini sebagai kekuatan semua jenama kami.

"Kami yakin bahawa PUMA & Active Sports akan mendapat hasil penajaan yang menggalakkan daripada perkongsian jangka panjang ini. Kerjasama bersama pihak PUMA dan Active Sports juga memastikan bahawa kelebihan teknologi bola dan juga produk-produk daripada PUMA dapat dinikmati oleh berjuta-juta peminat bola sepak tanah air melalui pelbagai rancangan promosi dan peraduan menarik yang akan kami aktifkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Melalui kerjasama ini, PUMA bakal menjadi pembekal bola pertandingan rasmi bagi semua pertandingan di bawah kendalian MFL.

Perjanjian jangka panjang ini akan bermula pada pertandingan TM Piala Malaysia 2021, dengan PUMA menyediakan semua bola perlawanan rasmi sehingga 2024.

Selain Piala Malaysia, pertandingan di bawah kelolaan MFL merangkumi Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Challenge Cup.

Artikel Berkaitan:

MFL muncul liga bola sepak pertama di Asia bersama PUMA yang secara rasmi menghasilkan bola perlawanan edisi khas sekali gus mengukuhkan lagi portfolio PUMA di peringkat global.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Puma, Steve Tan berkata, kerjasama ini akan membuktikan komitmen untuk mendorong komuniti bola sepak tempatan bergerak ke hadapan dan menjadi inspirasi bagi semua anak muda Malaysia.

"Ia adalah suatu kebanggaan apabila dapat melancarkan kerjasama jangka masa panjang yang menarik ini bersama MFL. Bola sepak sememangnya menjadi sebahagian daripada DNA PUMA.

"Kami berharap dapat sentiasa membawa produk terbaik dalam bola sepak, sentiasa bersedia berdepan cabaran dan terus berinovasi.

"Selaras dengan gerakan global Faster Football yang baharu dilancarkan, Tujuan utama kami adalah untuk mengatasi halangan & cabaran, dengan mempercepatkan permainan menerusi produk inovatif dan ini adalah dorongan kami dalam mencapai Faster Football," katanya.