76,400 remaja mula terima vaksin Covid-19 di Sarawak esok

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

TAWAU - Seramai 76,400 remaja di Sarawak mula menerima vaksin Covid-19 esok menjadikan mereka sebagai kumpulan pertama remaja di negara ini yang divaksinasi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, kumpulan itu terdiri daripada remaja berumur 16 serta 17 tahun dan remaja berumur 12 hingga 15 tahun yang menghidap penyakit berisiko tinggi iaitu bermasalah dengan sistem imun.

"Saya baru sahaja berhubung dengan Menteri Kesihatan Negeri Sarawak...kumpulan awal yang ditawarkan untuk menerima vaksin. Kadar dos pula sama seperti golongan dewasa.

"Selepas kumpulan awal ini pemberian vaksin akan diberikan kepada remaja berumur 14 dan 15 tahun, kemudian 12 dan 13 tahun secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak cadangan pembinaan Hospital Medan Sementara di Lapangan Terbang Lama, Jalan Utara, di sini pada Selasa.

Pemberian vaksin berkenaan susulan daripada keputusan dasar dibuat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 iaitu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang meluluskan penggunaan vaksin Pfizer kepada remaja.

Khairy berkata, selepas Sarawak, vaksinasi kepada golongan remaja akan diberikan kepada negeri yang sudah mencapai vaksinasi lengkap 80 peratus golongan dewasa seperti Labuan, Kuala Lumpur dan Selangor.

Sementara itu, beliau berkata, sebuah Hospital Medan Sementara dengan 108 katil serta dua dewan pembedahan dalam pertimbangan untuk dibina di tapak Lapangan Terbang Lama di Jalan Utara bagi menampung kes-kes Covid-19

Menurutnya, sebuah yayasan antarabangsa menawarkan untuk membina hospital berkenaan dan permohonan mengenai perkara itu sedang dipertimbangkan di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

"Hospital Medan Sementara ini seharusnya dibina dalam tempoh singkat bagi menampung keperluan kes Covid-19 selain menunggu projek pembinaan Hospital Tawau siap sepenuhnya tahun hadapan," katanya yang menambah projek Hospital Tawau itu kini 60 peratus siap.

Khairy yang diiringi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum itu dalam lawatan rasminya ke Tawau turut meluangkan masa ke Klinik Sri Balung bagi menyampaikan Anugerah PeKa B40 berikutan pencapaian klinik itu menjalankan saringan kesihatan tertinggi tahun lepas. - Bernama