X

Kindly register in order to view this article
!

Projek TAED akan berteraskan rakyat: Hajiji

Hajiji Noor
A
A

KOTA KINABALU - Projek Tanjung Aru Eco Development (TAED) yang disemak semula dan diperhalusi akan berteraskan rakyat dan menggabungkan ciri-ciri untuk menyediakan lebih banyak ruang dan akses awam.

Mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah TAED pertamanya di Menara Kinabalu di sini, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, pantai Tanjung Aru yang ikonik dan Prince Philip Park akan dikekalkan, ditambah baik dan diperindahkan supaya orang ramai dapat mengakses dan menikmatinya.

“Pembangunan baharu itu akan memastikan kemampanan dan mengambil kira inisiatif hijau,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri Sabah turut memutuskan bahawa tiada apa-apa kos yang ditanggung oleh kerajaan dan semua projek TAED bukan sahaja perlu berdaya maju dari segi kewangan, ekonomi dan sosial tetapi juga dibiayai sepenuhnya oleh pelabur yang dipersetujui kerajaan.

“Kita perlu ingat bahawa selain keuntungan dari segi kewangan, turut sama penting adalah pulangan ekonomi dan sosial.

“Ini termasuk jumlah pekerjaan dan peluang perniagaan yang akan diwujudkan oleh TAED dan sumbangannya kepada pembangunan sektor pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, beberapa syarikat telah menyatakan minat terhadap TAED dan antaranya ialah syarikat berkaitan kerajaan China - China Railway Construction Company International Investment Group Ltd melalui syarikat usaha sama tempatan, Mesra Melia Sdn Bhd.

Hajiji berkata, selepas mengambil alih pada September tahun lepas, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memutuskan bahawa projek TAED akan diteruskan selepas semakan semula untuk mengurangkan skala pembangunannya.

Sementara itu, Lembaga Pengarah TAED turut memutuskan untuk mengecualikan dua buah sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru I dan SK Tanjung Aru II daripada pembangunan tersebut.

Dalam Pelan Pembangunan Induk sebelum ini, dicadangkan sekolah tersebut dipindahkan ke Kampung Tanjung Aru yang akan melibatkan pengambilan tanah. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!