Kerani ditahan kes pecah amanah RM4 juta

PDRM
PDRM
A
A
A

AMPANG - Seorang kerani syarikat pembinaan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam jenayah pecah amanah berjumlah RM4 juta pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pengadu merupakan seorang pengarah syarikat menyedari wang milik syarikat telah diambil oleh seorang wanita yang juga pekerjanya pada November tahun lalu.

"Pengadu menyedari wang syarikatnya makin berkurangan di dalam akaun dan mengesyaki keraninya berusia 37 tahun mengambil wang tersebut.

"Beberapa transaksi telah dilakukan oleh suspek ke dalam akaun peribadinya secara berperingkat dengan anggaran kerugian sekitar RM4 juta," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Mohamad Farouk berkata, suspek mempunyai akses ke atas akaun bank milik syarikat kerana pengadu telah cuti sakit sejak Januari 2018 hingga Jun tahun lalu.

"Tiada individu lain yang boleh akses wang tersebut kecuali suspek seorang sahaja yang mempunyai akses.

"Siasatan mendapati terdapat dua akaun bank milik suspek yang digunakan untuk tujuan pemindahan wang syarikat," katanya.

Mohamad Farouk berkata, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Kes masih dalam siasatan pihak polis untuk dilengkapkan dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya," katanya.