Covid-19: Lima kluster komuniti diisytihar di Sarawak

Lima kluster komuniti, masing-masing empat melibatkan rumah panjang dan satu perkampungan diisytiharkan di Sarawak pada Selasa. - Foto hiasan
Lima kluster komuniti, masing-masing empat melibatkan rumah panjang dan satu perkampungan diisytiharkan di Sarawak pada Selasa. - Foto hiasan
A
A
A

KUCHING - Lima kluster komuniti, masing-masing empat melibatkan rumah panjang dan satu perkampungan diisytiharkan di Sarawak pada Selasa, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan Kluster Pinang Jawa melibatkan penduduk di sebuah perkampungan iaitu Kampung Pinang Jawa yang terletak di Jalan Matang, di sini.

“Daripada 92 individu yang disaring, 91 orang didapati positif termasuk kes indeks dan satu kes masih menunggu keputusan,”kata kenyataan itu.

Selain itu, Kluster Sungai Setulai, Sebauh, melibatkan penduduk di sebuah rumah panjang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang terletak di kawasan Sungai Setulai dengan 12 orang didapati positif termasuk kes indeks dan 40 individu masih menunggu keputusan.

Menurut kenyataan itu, Kluster Bukit Barun, Tatau, melibatkan penduduk di sebuah rumah panjang di bawah PKPD yang terletak di kawasan Bukit Barun dengan 52 orang didapati positif termasuk kes indeks dan 38 individu masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Kluster Beruru di Pakan melibatkan penduduk di sebuah rumah panjang yang terletak di kawasan Beruru, Nanga Kara, dengan 44 orang didapati positif termasuk kes indeks dan 10 individu didapati negatif.

JPBN Sarawak berkata, Kluster Sungai Tangap, Subis, pula dikesan di dua rumah panjang di bawah PKPD yang terletak di kawasan Sungai Tangap, Niah, apabila 42 orang didapati positif termasuk kes indeks, 59 individu didapati negatif dan dua individu masih menunggu keputusan.

Pada Selasa, Sarawak merekodkan 3,200 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini kini 137,812 kes manakala jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 583 orang selepas tujuh lagi kematian dilaporkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: