Universiti Afghanistan mula laksanakan peraturan asing penuntut

Penuntut lelaki dan perempuan diasingkan menerusi tirai yang dipasang di tengah-tengah kelas mereka. - Foto Agensi
Penuntut lelaki dan perempuan diasingkan menerusi tirai yang dipasang di tengah-tengah kelas mereka. - Foto Agensi
A
A
A

KABUL - Keadaan di universiti di ibu kota Afghanistan hampir lengang pada hari pertama pembukaan semula institusi pengajian tinggi tersebut ketika tenaga pengajar dan penuntut bergelut untuk mematuhi peraturan ketat yang ditetapkan Taliban.

“Penuntut kami tidak dapat menerima peraturan baharu itu dan kami mungkin terpaksa menutup kampus ini.

“Kebanyakan penuntut kami hanya memakai tudung dan tidak mengenakan niqab (purdah),” kata Pengarah Universiti Gharjistan di Kabul, Noor Ali Rahmani pada Isnin.

Di bawah peraturan baharu pihak berkuasa pendidikan Taliban yang dikeluarkan pada Ahad, penuntut perempuan hanya dibenarkan hadir kuliah jika memakai abaya (jubah) dan niqab, selain perlu menjalani sesi pembelajaran secara berasingan dengan penuntut lelaki.

Bagaimanapun, bagi sesetengah penuntut perempuan, mereka menarik nafas lega kerana masih dibenarkan untuk meneruskan pengajian di bawah pemerintahan Taliban.

“Mereka sangat gembira kerana dapat kembali ke universiti. Keputusan Taliban untuk membenarkan golongan wanita terus belajar adalah perkembangan yang positif,” kata Zuhra Bahman yang mengendalikan program biasiswa untuk penuntut perempuan di Kabul.

Sementara itu, jurucakap Universiti Ibn-e Sina, Jalil Tadjlil berkata, laluan masuk berasingan antara lelaki dan perempuan telah disediakan bagi mematuhi peraturan ditetapkan. - Agensi

Artikel Berkaitan: