Buka penuh sektor pelancongan, Pahang tunggu 'lampu hijau' MKN

Mohd Sharkar (tiga kiri) menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada wakil persatuan pemandu pelancong Kuantan dan Cherating di pekarangan pejabat Tourism Pahang, pada Selasa.
Mohd Sharkar (tiga kiri) menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada wakil persatuan pemandu pelancong Kuantan dan Cherating di pekarangan pejabat Tourism Pahang, pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang masih menunggu keputusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membuka sepenuhnya sektor pelancongan di negeri berkenaan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, setakat ini sektor itu sudah mula dibuka tetapi hanya kepada penduduk tempatan bermula awal bulan ini.

Menurutnya, pemain industri perlu mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN bagi mengelak jangkitan Covid-19 dan tercetusnya kluster pelancongan di sesebuah kawasan.

"Masih tunggu lampu hijau daripada MKN bagi pembukaan sepenuhnya sektor pelancongan di Pahang. Buat masa ini sudah buka lima lokasi tumpuan pelancong yang mencapai status imuniti berkelompok atau 100 peratus menerima dos vaksin lengkap.

"Antara lokasi berkenaan ialah Bukit Fraser, Raub; Pulau Tioman, Rompin; Taman Negara, Jerantut; Genting Highlands dan Janda Baik, Bentong manakala dua lagi lokasi iaitu Cameron Highlands dan Rompin akan dibuka selepas penduduk di kawasan terbabit sudah menerima dos lengkap.

"Sektor pelancongan ini sudah berjalan di Pahang dengan syarat ketat, mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutama sudah lengkap menerima dua dos vaksin," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada wakil persatuan pemandu pelancong Kuantan dan Cherating di pekarangan pejabat Tourism Pahang, pada Selasa.

Hadir sama Pengurus Besar Tourism Malaysia Pahang, Kamarudin Ibrahim.

Mohd Sharkar meminta supaya mereka yang terbabit dalam sektor berkenaan untuk mengambil vaksin dan ia penting bagi memastikan sektor pelancongan dapat beroperasi seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai bantuan BPP kepada pemain industri pelancongan, Mohd Sharkar berkata, kerajaan Pahang sudah membelanjakan kira-kira RM500,000 bagi membantu sektor pelancongan di Pahang sejak awal tahun ini.

Katanya, bantuan diagihkan kepada orang perseorangan dan persatuan pelancong yang terjejas teruk sejak pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun lalu.