Transformasi DUN Perlis, pinda peraturan lapuk

Ay Ling dan Asrul Nizan
Ay Ling dan Asrul Nizan
A
A
A

KANGAR - Kerajaan negeri Perlis disaran melakukan transformasi terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis dengan melaksanakan beberapa penambahbaikan melalui penggubalan enakmen negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd Jalil berkata, ia selaras dengan transformasi Parlimen yang akan dilakukan dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama untuk memberi lebih kebebasan kepada Parlimen.

Menurutnya, sudah tiba masanya bukan sahaja Parlimen ditambahbaik malah DUN Perlis juga wajar melakukan transformasi bersesuaian dengan peredaran zaman selain lebih telus dalam penggubalan undang-undang yang memerlukan komitmen semua pihak.

“Usaha bagi merealisasikan transformasi dapat menyuntik nafas baharu melalui penghapusan atau pindaan peraturan lapuk.

Ia mampu direalisasikan dengan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perkhidmatan DUN Perlis untuk memperkasakan fungsi DUN supaya menjadi medium semak dan imbang berkesan dalam memastikan kerajaan negeri sentiasa dipantau dalam menjalankan tadbir urus yang baik serta membawa pembangunan menyeluruh kepada negeri dan rakyatnya,” kata beliau kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, persetujuan telah dicapai oleh Jabatan Perdana Menteri dan Parlimen Malaysia untuk menubuhkan jawatankuasa bersama dalam memastikan cadangan mengenai transformasi Parlimen diserahkan kepada kabinet untuk dilaksanakan segera.

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan transformasi Parlimen akan dihantar ke kabinet

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Asrul Nizan bersama ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling menggariskan 10 elemen penambahbaikan DUN Perlis untuk perhatian kerajaan negeri.

“Wakil pembangkang haruslah dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) bagi membuktikan ketelusan dan akauntabiliti DUN sebagai institusi penggubal undang-undang.

"Seterusnya peranan institusi ketua pembangkang diberi pengiktirafan sewajarnya untuk melakukan proses semak-imbang secara lebih berkesan,” katanya.

Menurut mereka, penghapusan atau pindaan peraturan tetap mesyuarat yang disifatkan lapuk perlu dilakukan termasuk penambahbaikan bersifat struktur.

“DUN harus memelihara integriti dan urus tadbir baik demi menjaga kepentingan awam dengan mewujudkan peruntukan mewajibkan setiap ADUN mengisytiharkan harta dan mengisi Borang Akuan Berkanun kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan ketelusan,” katanya.

Tambah mereka, bagi memperkukuhkan lagi sistem pengurusan pentadbiran awam, keperluan mewujudkan jawatankuasa pilihan keutuhan tadbir urus negeri yang memfokus kepada pengukuhan sistem penyampaian perkhidmatan awam berteraskan integriti perlu diadakan bagi memastikan keberkesanan sistem pengurusan, tadbir urus serta mengurangkan karenah birokrasi.

“Bagi menjamin kebebasan DUN, tubuhkan jawatankuasa pilihan khas bagi pentadbiran dan kewangan DUN antaranya berhubung pelantikan setiausaha DUN, serta menerapkan model pengurusan perbelanjaan dan penyediaan belanjawan secara kerjasama untuk pastikan autonomi kewangan DUN mampu menguruskan pentadbiran dan kewangan, bukannya berada bawah bidang kuasa eksekutif seperti amalan sekarang,” katanya.

Aspek lain termasuk mencadangkan khidmat penyelidik DUN supaya hujah dikemukakan ADUN sarat dengan kualiti, logik dan statistik bagi kepentingan perbahasan dalam menggubal dasar secara intelek.

“Tubuhkan jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam menegakkan prinsip semak dan imbang terutama dalam urus tadbir yang baik.

"Kami juga sarankan supaya Program ADUN Muda Perlis dianjurkan tiga kali setahun, setiap kali berakhirnya sidang DUN Perlis,” katanya.

Mereka turut mencadangkan agar persidangan DUN Perlis dan prosiding PAC dilaksanakan secara siaran langsung bagi memastikan prinsip ketelusan dalam institusi kerajaan.

“Selaras dengan wawasan kerajaan negeri yang mahu menjadikan Perlis sebagai bandar raya menjelang 2030, kami gesa agar DUN Perlis ditampilkan sebagai DUN kelas pertama dalam segenap aspek, termasuk disiplin dan keperibadian ahli Dewan kerana era modal retorik sudah berlalu,” katanya.