X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Lebih 40,000 hilang kerja tahun ini

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 40,680 kes hilang pekerjaan direkodkan dalam negara setakat Ogos lalu dengan purata 5,811 kes setiap bulan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata, pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang memantau trend kes hilang pekerjaan harian bagi memberikan perlindungan kepada para pekerja yang tidak lagi dapat bekerja disebabkan pelbagai alasan.

Katanya, menurut Perkeso definasi hilang pekerjaan termasuk pemberhentian kerja, Skim Pemisahan Kerja Sukarela atau Persefahaman Bersama (VSS/MSS), penutupan syarikat disebabkan bencana alam, bankrap, pemberhentian kerja disebabkan oleh gangguan seksual atau ancaman di tempat kerja, serta berhenti selepas diarah melakukan tugas yang berbahaya yang tidak termasuk dalam skop kerja.

“Sebagaimana yang kita ketahui, pandemik Covid-19 bukan hanya memberi kesan kepada aspek kesihatan orang ramai, tetapi turut membawa kejutan ekonomi kepada negara-negara di seluruh dunia.

“Ia susulan langkah yang diambil bagi menghalang penularan virus yang membawa kepada penutupan syaikat, manakala orang ramai hilang pekerjaan atau pekerja terpaksa bekerja dengan perolehan gaji yang dikurangkan,” katanya semasa berucap di majlis perasmian Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa (IPEF 2021) yang berlangsung secara maya pada Selasa.

Saravanan berkata, sejak Mac tahun lalu kerajaan mengambil pelbagai langkah bagi meringankan beban orang ramai dan memastikan sektor perniagaan terus beroperasi bagi mengelak pemberhentian kerja besar-besaran, termasuk dengan pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) Jun lalu.

Perkeso, sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia ditugaskan untuk melaksanakan program-program PEMULIH seperti Program Subsidi Gaji 4.0, PenjanaKerjaya 3.0, KerjayaGig dan SIP Prihatin 2.0, yang disasar kepada majikan, pekerja, pencari kerja serta kerja sendiri.

Sementara itu, portal kerja MyFutureJobs sehingga kini merekodkan sejumlah 1.29 juta kekosongan daripada 21 sektor dan sejumlah 564,830 pencari kerja aktif telah mendaftar dengan portal ini dengan 196,471 kejayaan pemadanan kerja direkodkan.

Saravanan berkata, forum anjuran Perkeso pada Selasa perlu digunakan bagi mengukuhkan dan mewujudkan pasaran tenaga kerja yang kukuh dalam negara kerana ia merupakan salah satu komponen penting dalam ekonomi negara.

Forum dua hari IPEF 2021 yang bermula pada Selasa menampilkan lebih 50 penceramah ternama tempatan dan antarabangsa, dengan tiga acara berlangsung secara serentak - yakni dua simposium maya dan satu pameran mega pekerjaan - bagi membantu membina semula ekonomi dan pasaran kerja pasca Covid-19. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!