Harga ayam naik RM10 sekilogram

Pemeriksaan KPDNHEP mendapati ada lokasi menjual ayam mentah runcit pada harga RM10 sekilogram. Foto: KPDNHEP
Pemeriksaan KPDNHEP mendapati ada lokasi menjual ayam mentah runcit pada harga RM10 sekilogram. Foto: KPDNHEP
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengesahkan berlakunya kenaikan harga ayam mentah hingga RM10 sekilogram di pasaran negeri ini.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya mendapati harga runcit ayam di pasar dijual antara RM8 hingga RM10 sekilogram, pasar raya besar antara RM6.90 hingga RM8.49 sekilogram manakala pasar raya pula antara RM6.90 hingga 8.89 sekilogram.

Menurut beliau, ia hasil tinjauan dan pemantauan pasukan KPDNHEP di 46 lokasi jualan ayam melibatkan pasar basah, pasar raya besar dan pasar raya di seluruh negeri pada Selasa.

“Rata-rata peniaga memberi alasan punca kenaikan harga ayam adalah disebabkan pengurangan bekalan ayam di peringkat ladang.

“Peniaga juga mendakwa peningkatan harga makanan ayam turut menyebabkan berlaku kenaikan kos di peringkat pembekal dan peladang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu kata Saharuddin, KPDNHEP akan melakukan pemeriksaan di peringkat rantaian pembekalan untuk mendapatkan maklumat harga dan kos bagi mengesahkan dakwaan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 akan diambil sekiranya siasatan mendapati wujudnya pencatutan.

“Bagaimanapun, KPDNHEP Terengganu memberi jaminan bekalan ayam untuk kegunaan rakyat negeri ini adalah mencukupi dan tidak berlaku masalah kekurangan bekalan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, pengusaha restoran, kedai makan dan katering di negeri mengakui terpaksa berniaga dalam keadaan tertekan apabila harga ayam di pasaran dilaporkan naik secara mendadak dalam tempoh sebulan.

Rata-rata mereka mengeluh dan kecewa kerana ayam yang dibeli secara borong dengan harga RM5.80 sekilogram pada 1 Ogos meningkat kepada RM8 pada Selasa.