Terengganu sedia terima persinggahan kapal persiaran mewah

Ariffin (tengah) bersama Ikon Pelancongan Terengganu, Mat Dan pada Majlis Perasmian MATTA Fair Terengganu 2019.
Ariffin (tengah) bersama Ikon Pelancongan Terengganu, Mat Dan pada Majlis Perasmian MATTA Fair Terengganu 2019.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu bersedia menerima persinggahan kapal persiaran mewah bertaraf antarabangsa dalam tempoh setahun lagi, selepas mercu tanda ikonik, jambatan angkat atau ‘drawbridge’ siap sepenuhnya Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, infrastruktur di Waterfront Kuala Terengganu juga sudah cukup bersedia menerima kedatangan pelancong dalam kapasiti yang lebih besar.

“Jambatan angkat walaupun belum siap, sudah cantik dan menjadi bualan. Kita jangkakan, setelah siap sepenuhnya nanti, ia akan menjadi mercu tanda dan tarikan utama pelancong ke Terengganu.

“Kita juga menambah baik pelbagai kemudahan sebagai persediaan menerima jumlah kedatangan pelancong dalam skala besar. Kita sudah cukup bersedia untuk menerima persinggahan persiaran mewah seperti royal The Royal Caribbean Cruise dan Star Cruise dan lain-lain yang kita jangkakan dalam tempoh setahun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian MATTA Fair Terengganu 2019 di Paya Bunga Square, di sini, anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dengan sokongan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

Ariffin menambah, beliau percaya Terengganu kini lebih bersedia untuk dinobatkan sebagai negeri pelancongan dengan rangkaian kemudahsampaian yang lebih selesa dan prasarana pelancongan yang lebih baik.

Malah katanya, anjakan minda yang lebih berorientasikan kepada penyediaan perkhidmatan yang membantu memberi keselesaan semaksimum mungkin kepada pelancong agar lebih ramai datang berkunjung ke Negeri Terengganu yang dikenali dengan ‘Negeri Cantik, Budaya Menarik’ itu.

Artikel Berkaitan: