8,300 penjaja tepi jalan di Selangor dapat lesen sementara

Sze Han (tiga kiri) mengadakan pertemuan dan menyerahkan lesen sementara kepada 120 peniaga di Taman Puncak Jalil, pada Selasa.
Sze Han (tiga kiri) mengadakan pertemuan dan menyerahkan lesen sementara kepada 120 peniaga di Taman Puncak Jalil, pada Selasa.
A
A
A

SUBANG JAYA - Sebanyak 8,300 lesen sementara dengan pengecualian bayaran permit dikeluarkan kepada penjaja di Selangor antara Ogos tahun lalu hingga September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri, Ng Sze Han berkata, lesen sementara diberikan bagi memudahkan individu terkesan akibat Covid-19 menjalankan perniagaan mereka.

Menurutnya, berdasarkan data jabatan statistik, bilangan pengangguran telah meningkat kepada sebanyak 4.8 peratus pada suku kedua tahun ini dengan lebih 750,000 orang tiada pekerjaan.

"Daripada jumlah ini, 4.4 peratus direkodkan di negeri Selangor dan bagi meringankan beban rakyat, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengeluarkan lesen sementara ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dan menyerahkan lesen sementara kepada 120 peniaga di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara berkata, sebelum ini hanya enam daripada 80 pemilik gerai di kawasan itu mempunyai lesen berdaftar dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

“Walau bagaimanapun, di atas kesedaran para pemilik gerai, terdapat ramai yang telah membuat permohonan dan menjadikan jumlah keseluruhan pemohon adalah 120 orang penjaja,” kata Sze Han.

Beliau berkata, lesen sementara itu diberikan kepada mereka yang ingin menceburi perniagaan buat sementara waktu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula Mac tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana ramai yang terkesan termasuk hilang pekerjaan dan dengan usaha ini ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka menguruskan perniagaan dengan lebih baik dan teratur,” jelasnya.

Beliau menambah, permohonan lesen sementara itu juga boleh dimohon secara dalam talian malah dapat diluluskan dalam masa singkat setelah semua dokumen lengkap dihantar kepada PBT di kawasan masing-masing.

Menurutnya, kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh sah lesen sementara ini sehingga Disember 2021 memandangkan situasi wabak Covid-19 yang masih belum reda.

Tambahnya, bagi tempoh 2016 hingga 2021, hampir 71,800 penjaja telah menikmati kemudahan pengecualian bayaran permit penjaja yang memberikan implikasi kewangan lebih RM54 juta kepada kerajaan negeri termasuk sebanyak RM7.6 juta pada Januari sehingga Jun tahun ini.