SAINS catat kerugian bersih RM1.2 juta: MB

8
8
A
A
A

SEREMBAN, - Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.2 juta bagi tempoh Januari sehingga Julai, 2021, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu pada Selasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagi tempoh tersebut perbelanjaan direkodkan adalah sebanyak RM167.6 juta manakala hasil RM166.4 juta.

"Jumlah hasil air tersebut merangkumi sebanyak RM159.3 juta dan lain-lain hasil sebanyak RM7.1 juta," katanya ketika menjawab soalan daripada Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Senaling) yang mahu mengetahui tentang kedudukan kewangan SAINS.

Aminuddin yang juga merupakan ADUN Sikamat berkata, kos utama perbelanjaan yang terlibat adalah sewa pajak aset air PAAB (RM40.9 juta), elektrik (RM38.9 juta), emolumen kakitangan (RM25.7 juta), pembaikan bekalan air dan loji (RM17.3 juta), bahan kimia (RM7.6 juta) dan susut nilai aset (RM10.8 juta).

Beliau berkata, faktor penyusutan hasil SAINS itu adalah disebabkan oleh kesan daripada pandemik Covid-19 yang menjejaskan hasil syarikat antara empat hingga lima peratus.

"Kos elektrik, bahan mentah, penyelenggaraan paip lama dan kos pajakan aset air merupakan penyumbang utama kepada perbelanjaan lebih tinggi daripada hasil syarikat.

"Tarif air tidak berubah tetapi kos operasi naik antara lima hingga tujuh peratus setiap tahun," katanya.

Beliau berkata, ketika ini SAINS sedang mengambil langkah penjimatan terutamanya daripada segi kecekapan penggunaan elektrik di loji kerana kos elektrik merangkumi 24 peratus daripada keseluruhan kos operasi syarikat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, SAINS juga sedang dalam peringkat kajian bagi penggunaan solar panel di loji dan bangunan syarikat.

"SAINS berdepan dengan kekangan kos bagi pembaikan paip dan aset kerana paip dan loji berusia lebih daripada 50 tahun memerlukan kos tinggi untuk pembaikan secara berterusan," katanya.

Aminuddin berkata, SAINS sedang mencari alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada kontraktor untuk pembaikan aset bekalan air ini. - Bernama