Pulau Pinang laksana vaksin 'walk-in' bermula Rabu

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pelaksanaan imunisasi secara 'walk-in' di Pulau Pinang akan bermula pada Rabu, 8 September khas kepada semua warganegara Malaysia.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, antara Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) yang terlibat seperti di PPV SPICE Convension Center, PPV Tapak Pesta Sungai Nibong; PPV Kompleks Sukan Balik Pulau; PPV Pusat Konvensyen Perda dan PPV Dewan Millenium dengan waktu pengoperasian bermula jam 10 pagi.

Menurutnya, program sama akan turut diadakan di PPV SP Arena; PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya; PPV Vangohh Eminent; PPV Dewan Sungai Bakap dan PPV Dewan Serbaguna Jawi.

"Tempoh masa pengoperasian yang ditetapkan adalah bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan kesesakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) di PPV-PPV tersenarai.

"Beberapa kriteria perlu dipatuhi dengan individu mestilah berumur 18 tahun dan ke atas; warganegara Malaysia (sila bawa MyKad bagi tujuan pengesahan) dan belum berdaftar atau belum menerima janji temu MySejahtera," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kon Yeow berkata, program itu diadakan mengikut konsep secara ‘first come first served’ dan orang ramai perlu mengemas kini MySejahtera sebelum ke PPV selain tidak bergejala, bukan kontak rapat dan bukan dalam tempoh kuarantin.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang: Pengurusan Covid-19 pada Selasa, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah memberi komitmen untuk menambah baik pengurusan masa tindak balas atau ‘response time’ dari pusat panggilan bagi memantau pesakit Covid-19 atau kontak rapat kepada seseorang disahkan positif yang menjalankan kuarantin kendiri di rumah.

Jelasnya, penambahbaikan tempoh masa tindak balas dari pusat panggilan antara 24 hingga 48 jam itu mengikut kategori pesakit sama ada berisiko tinggi atau rendah.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pengurusan kes-kes positif Covid-19, inisiatif-inisiatif terkini yang diambil kerajaan negeri atas usaha sama pelbagai pihak seperti pengoperasian Pusat Panggilan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau CAC Call Centre yang beroperasi pada jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari menerusi talian Hotline 04-382 7143 / 04-382 7142.

"Selain itu, Pre Hospital Care di bawah Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 Pulau Pinang atau Penang Covid -19 Unified Command Centre (PUCC) yang telah ditambah baik dengan perkhidmatan panggilan 999 Covid-19 berserta penyediaan kemudahan pengangkutan untuk menghantar pesakit ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC);

"Malah kita turut menyediakan Careline Gabungan PgCare atau PgCare Alliance di talian 04-642 7777 atau melalui emel pgcarealliance@gmail.com," katanya.