Hidung terpaksa disumbat tisu

Makelthom Ismail,56, (kiri) dan anak mereka, Che Muhamad Faizolni Che Mohd Nor, 30, membantu Wan Azman Wan Mohamad, 62, untuk minum.
Makelthom Ismail,56, (kiri) dan anak mereka, Che Muhamad Faizolni Che Mohd Nor, 30, membantu Wan Azman Wan Mohamad, 62, untuk minum.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pesara wadar penjara kini menanggung derita apabila hidungnya terpaksa disumbat dengan tisu akibat darah yang tidak henti mengalir keluar sejak dua bulan lalu.

Keadaan dialami Wan Azman Wan Mohamad, 62, itu kesan daripada penyakit kanser pangkal hidung tahap empat yang dihidapinya selain berpenyakit diabetis dan darah tinggi.

Isterinya, Makelthom Ismail, 56, berkata, suaminya disahkan menghidap kanser pada Julai lalu namun dinasihatkan doktor supaya tidak menerima sebarang rawatan sama ada kimoterapi atau radioterapi kerana risiko yang terlalu tinggi.

Katanya, sebelum itu Wan Azman mengalami serangan strok pertama pada tahun 2012 disusuli serangan kedua pada 2015 manakala ketiga pada pertengahan April lalu yang menyebabkannya terlantar dengan hidung yang sentiasa mengalirkan darah.

“Dia dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) namun sel kanser yang dikesan sudah merebak dengan teruk.

“Sel kanser terlalu aktif dan agresif hingga merebak ke otak selain akan muntah apabila makan atau minum kecuali hanya dapat minum air kosong sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Besar, di sini, pada Selasa.

Mereka sebelum itu menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Prihatin Suri Pengkalan Chepa, Datin Seri Nor Azizah Sulaiman yang menyampaikan sumbangan bekalan makanan dan wang tunai.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Suri Pengkalan Chepa, Datin Seri Nor Azizah Sulaiman (kanan) yang menyampaikan sumbangan beras kepada keluarga, Makelthom Ismail,56.
Pengerusi Pertubuhan Prihatin Suri Pengkalan Chepa, Datin Seri Nor Azizah Sulaiman (kanan) yang menyampaikan sumbangan beras kepada keluarga, Makelthom Ismail,56.

Makalsom berkata, suaminya bersara terakhir dengan pangkat Sarjan Mejar di Penjara Marang, Terengganu, pada tahun 2019 dan menerima pencen bulanan.

“Keadaan bertambah teruk apabila badan sasanya yang dahulu seberat 90 kilogram (kg) kini tinggal 45 kg sahaja selain perlu dibantu untuk menukar lampin pakai buang serta mencuci darah pada hidung.

“Kos keperluan mencecah RM700 sebulan dan turut memerlukan katil klinikal bagi memudahkan urusan menjaganya,” katanya.

Ujarnya, tanggungjawab menjaga suami dibantu enam anak mereka yang berusia 19 hingga 32 tahun terutama Che Muhamad Faizolni Che Mohd Nor, 30, (anak tiri) dan Wan Mohamad Hakimi, 19.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi 011-61672151 atau salurkan ke Bank Simpanan Nasional Berhad Makelthom Ismail 0310029000711639.

Sementara itu, Nor Azizah berkata, pihaknya berharap sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur yang disumbangkan pertubuhan itu dapat meringankan beban keluarga berkenaan.

“Sepanjang tahun ini, sejumlah 800 keluarga sudah dibantu dan RM60,000 duit zakat diperolehi daripada pelbagai pihak sudah diagihkan kepada asnaf, anak yatim dan pesakit kronik,” katanya.