X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

SEARCCT bakal jadi sumber rujukan utama pencegahan keganasan

Saifuddin Abdullah
A
A

KUALA LUMPUR - Peranan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) akan diperkasakan untuk muncul sebagai sumber rujukan utama mengenai kerja-kerja memerangi keganasan di rantau ini, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menteri itu berkata, SEARCCT iaitu agensi di bawah Kementerian Luar telah diberitahu agar bekerja rapat dan memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan di rantau ASEAN yang mempunyai fungsi sama seperti SEARCCT.

"Saya juga meminta SEARCCT untuk tingkatkan usaha dalam tiga bidang iaitu penyelidikan, penerbitan dan latihan," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke SEARCCT di sini pada Selasa.

Saifuddin turut meminta SEARCCT untuk menerapkan pendekatan kehidupan bersama dalam budaya damai sebagai cara baharu dalam menangani radikalisme agama.

"Ia adalah pendekatan baharu itu dan saya harap SEARCCT akan berusaha tingkatkan kefahaman rakyat Malaysia dan rantau ini tentang pentingnya memahami hidup bersama dalam budaya damai," katanya.

Selain itu, katanya, penting bagi SEARCCT untuk memberi tumpuan kepada elemen keselamatan siber untuk memantau pengaruh keganasan yang berlaku dalam talian.

SEARCCT ditubuhkan pada tahun 2003 berfungsi sebagai pusat mencegah keganasan serantau yang antara lain menumpukan kepada program latihan, pembinaan keupayaan, penyelidikan dan memupuk kesedaran masyarakat. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!