Kadar pengangguran di Johor turun 3.8 peratus

Mohd Izhar
Mohd Izhar
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kadar pengangguran di Johor turun kepada 3.8 peratus pada pertengahan tahun ini berbanding 4.6 peratus, dalam tempoh yang sama, tahun lalu.

Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 67,800 penganggur direkodkan pada suku kedua tahun ini.

"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan penguatkuasaannya pada awal tahun ini telah menyebabkan beberapa sektor industri perniagaan dan juga perkhidmatan telah mengalami sekatan operasi.

"Namun Kadar Penyertaan Tenaga Buruh di negeri ini yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini telah meningkat sebanyak 0.4 mata kepada 67.6 peratus, berbanding hanya 67.2 peratus yang dicatatkan pada suku kedua 2020," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Izhar yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, Johor telah menerima pelaburan masuk bernilai RM1.7 bilion setakat Mac ini.

"Daripada jumlah itu nilai pelaburan asing yang berjaya dibawa masuk ke Johor adalah sebanyak RM36.9 juta. Sementara jumlah nilai pelaburan tempatan atau domestik yang diterima adalah sebanyak RM1.33 bilion.

"Kerajaan negeri berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan prestasi pencapaian sektor pelaburan di Johor," katanya.

Artikel Berkaitan: