Syor lantikan jawatan tertinggi negara tiada campur tangan politik

Berjasa diketuai Zamani (tengah) mengetuai penyerahan memorandum ke Pejabat Pentadbiran Bahagian Pengurusan Diraja Istana Negara.
Berjasa diketuai Zamani (tengah) mengetuai penyerahan memorandum ke Pejabat Pentadbiran Bahagian Pengurusan Diraja Istana Negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mengesyorkan beberapa perkara bagi memperkasa tadbir urus kerajaan ke arah membentuk negara bebas daripada penyalahgunaan kuasa.

Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, perkara pertama adalah lantikan jawatan tertinggi negara seperti Speaker Dewan Rakyat, Speaker Dewan Negara dan Ketua Hakim Negara berdasarkan kepada keupayaan tanpa melibatkan campur tangan politik.

Beliau berpandangan, pelantikan jawatan tertinggi tersebut hendaklah dipilih dalam kalangan individu yang mempunyai pegangan agama yang kuat serta taat setia kepada raja serta negara.

“Seseorang yang dilantik perlulah berwibawa, mempunyai integriti tinggi dan mampu menjalankan tugas secara adil serta saksama,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyerahkan memorandum berhubung cadangan itu di Istana Negara pada Selasa.

Memorandum tersebut dihantar ke Pejabat Pentadbiran Bahagian Pengurusan Diraja Istana Negara.

Dalam pada itu, Zamani turut memaklumkan, Berjasa juga mengesyorkan supaya memisahkan bidang kuasa peguam negara dengan pendakwa raya bagi menjamin ketelusan dan keadilan dalam institusi perundangan negara.

Katanya, Berjasa yakin dan percaya sekiranya cadangan yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong itu dapat dilaksana, pentadbiran negara dapat dibentuk menjadi negara yang lebih telus, bersih, amanah dan bebas daripada semua bentuk penyalahgunaan kuasa.

“Berjasa meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan dan pembangkang untuk bersama-sama mendukung cadangan ini bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih unggul,” kata Zamani.

Artikel Berkaitan: