Mahkamah Tinggi tolak saman pemula Anwar cabar Akta MKN

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menolak saman pemula difailkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencabar pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta MKN 2016).

Peguam J. Leela yang mewakili Anwar memaklumkan perkara itu kepada Bernama selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada Selasa yang turut disertai Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy bertindak bagi pihak MKN dan kerajaan selaku defendan.

Leela berkata, Hakim Ahmad Kamal menolak saman pemula itu tanpa perintah untuk kos berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa Akta MKN 2016 adalah sah dan berperlembagaan.

"Mahkamah Persekutuan pada 6 Ogos telah mengeluarkan perintah supaya kes saman itu dilupuskan di Mahkamah Tinggi dan berdasarkan perintah tersebut, Hakim Ahmad Kamal menolak saman pemula berkenaan," kata peguam itu.

Dalam keputusan majoriti 5-2, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Akta MKN 2016 adalah sah dan berperlembagaan selepas menjawab persoalan perundangan mengenai keperlembagaan akta itu yang dibangkitkan Anwar berkaitan saman pemula tersebut.

Persoalan perundangan itu didengar semula selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 September tahun lepas membenarkan permohonan Anwar untuk mengetepikan satu keputusan majoriti pada 11 Februari yang enggan menjawab persoalan perlembagaan berhubung kesahan akta berkenaan.

Pada 11 Februari tahun lepas, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 5-2 enggan menjawab persoalan perlembagaan yang dibangkitkan Anwar mengenai MKN.

Anwar memfailkan saman pemula pada tahun 2016 untuk mencabar perlembagaan MKN, dengan mendakwa pelaksanaannya tidak berperlembagaan dan menamakan MKN dan kerajaan sebagai defendan.

Artikel Berkaitan:

Pada 14 Mac 2019, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Anwar mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan perlembagaan. - Bernama