'Mama minta maaf, tak jaga Fayyadh baik-baik'

Lokasi jasad Muhammad Fayyadh ditemui dalam keadaan terapung dalam sebuah lombong, kira-kira 80 meter dari rumahnya di Taman Kinta Baru, Gopeng pada Selasa.
Lokasi jasad Muhammad Fayyadh ditemui dalam keadaan terapung dalam sebuah lombong, kira-kira 80 meter dari rumahnya di Taman Kinta Baru, Gopeng pada Selasa.
A
A
A

GOPENG - Ibu kepada Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid, kanak-kanak autisme yang ditemui lemas dalam sebuah lombong di sini pada Selasa tidak dapat menahan pilu dan meratap hiba di sisi jasad anaknya itu.

Nur Shamimi Abdul Malek 27, dilihat berulang kali meluahkan rasa tidak percaya anaknya itu sudah tiada sambil menzahirkan ucapan maaf.

"Mama minta maaf sebab tak jaga Fayyadh baik-baik," katanya sambil mengusap jasad anaknya.

Ketika ditemui pemberita, Nur Shamimi berkata, mereka sekeluarga sama sekali tidak menyangka arwah akan mendekati lombong berkenaan kerana kawasan itu telah berpagar.

Katanya, pada kebiasaan, anak kedua daripada lima beradik itu hanya bermain di taman permainan yang terletak kira-kira 80 meter dari rumah mereka di Taman Kinta Baru di sini sambil ditemani adik beradik yang lain.

"Kalau keluar je dari pagar rumah ini, memang ke taman permainanlah dia akan pergi, melompat sambil bermain papan gelongsor.

"Walaupun lombong berada dekat dengan taman permainan ini, dia dan anak-anak saya yang lain tak pernah pergi atau merayau di situ.

"Saya sama sekali tak menjangka dia akan ditemui di situ dalam keadaan tidak bernyawa kerana firasat saya mengatakan anak saya hanya ke taman permainan sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Suri rumah itu berkata, kehilangan Muhammad Fayyadh disedari sekitar jam 6.30 petang ketika dia selesai mandi dan melihat pintu serta pagar rumah yang dibiarkan dalam keadaan tidak bertutup.

Nur Shamimi ditenangkan ahli keluarga sebaik melihat jasad anaknya, Muhammad Fayyadh yang ditemui lemas dalam sebuah lombong di Taman Kinta Baru, Gopeng pada Selasa.
Nur Shamimi ditenangkan ahli keluarga sebaik melihat jasad anaknya, Muhammad Fayyadh yang ditemui lemas dalam sebuah lombong di Taman Kinta Baru, Gopeng pada Selasa.

Katanya, anaknya yang mempunyai masalah hyper aktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap memang pantang jika pintu atau pagar tidak berkunci kerana akan berlari keluar rumah.

"Bila saya nampak pintu terbuka dan Fayyadh tiada di ruang tamu, saya cepat-cepat minta anak sulung berusia 7 tahun cari di taman permainan itu, tetapi dia tiada di situ.

"Kami mencarinya sehingga jam 4.30 pagi termasuklah di kawasan lombong itu, tetapi tidak menemui apa-apa petunjuk sehinggalah pagi ini dimaklumkan anak saya sudah ditemui, tetapi dalam keadaan tidak lagi bernyawa," katanya pilu.

Nur Shamimi berkata, dirinya reda dengan pemergian arwah dan mengakui akan merindui keletah manja anaknya itu nanti.

"Memang dialah yang paling manja, bila nak tidur dia akan cari dan pegang kaki saya, baru dia akan tidur. Samalah keadaannya setiap kali bangun tidur, dia akan cari dan peluk saya dulu, baru buat benda lain," katanya.

Jasad Muhammad Fayyadh yang dilaporkan hilang dari rumah sejak petang Isnin ditemui dalam keadaan terapung di tepi sebuah lombong milik persendirian oleh pasukan operasi mencari dari Balai Polis Gopeng pada jam 9.45 pagi

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim mengesahkan tiada tanda berlakunya unsur jenayah ketika pemeriksaan awal pada fizikal mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.