Pasir Puteh antara pengeluar ikan air tawar terbesar di Kelantan

Pasir Puteh antara pengeluar ikan air tawar terbesar di Kelantan. - Foto fail Bernama
Pasir Puteh antara pengeluar ikan air tawar terbesar di Kelantan. - Foto fail Bernama
A
A
A

PASIR PUTEH - Kelantan sudah melepaskan 50,000 hingga 70,000 benih ikan setahun sejak 10 tahun lepas di dua sungai di sini sebagai usaha menjadikan daerah ini antara pengeluar ikan air tawar darat terbesar di negeri ini menjelang tempoh lima tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pelbagai spesies ikan termasuk keli, tilapia, jelawat dan tumang galang dilepaskan ke dalam sungai di Kampung Tasek Pauh dan Kampung Tok Ajam yang diselia agensi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

“Ratusan petani termasuk 30 nelayan darat (sungai) yang tinggal di kawasan terbabit termasuk di Kampung Jelor kini dapat faedah apabila berjaya menghasilkan (ternakan) ikan antara 30 hingga 100 kilogram (kg) sehari.

“Selain melepaskan benih ikan bagi pembiakan, kerajaan negeri turut menyumbang peralatan seperti pukat, bubu, unjang, jala dan pukat kepada nelayan darat terbabit serta bantuan wang secara one-off (sekali bayar) sebanyak RM200 bagi meringankan beban mereka sepanjang pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Tuan Mohd Saripudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising berkata, ternakan ikan itu juga mendapat permintaan meluas di beberapa negeri terutama Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

"Terdapat penduduk kampung telah menjadikan sebahagian ikan itu sebagai ikan pekasam yang laris untuk dipasarkan pada musim tengkujuh kebiasaannya pada Oktober hingga Mac tahun berikutnya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut bercadang menubuhkan Mykomuniti Perikanan Darat di Kampung Tasek Pauh selain di Kampung Tok Ajam bagi menambah bilangan peserta daripada 35 kepada 70 orang di daerah itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi memajukan ternakan ikan air tawar di seluruh Kelantan bermula tahun hadapan berbanding RM150,000 setahun ketika ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: