Lesap selepas dapat barang

Kenderaan jenis Mitsubishi Pajero dipercayai dinaiki suspek untuk berjumpa mangsa bagi tujuan pembelian telefon bimbit sebelum menghilangkan diri.
Kenderaan jenis Mitsubishi Pajero dipercayai dinaiki suspek untuk berjumpa mangsa bagi tujuan pembelian telefon bimbit sebelum menghilangkan diri.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis telah menahan tiga lelaki yang disyaki memperdaya seorang peniaga dalam urusan pembelian dua telefon pintar bernilai RM2,830 pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abd Rahman berkata, dua suspek berusia 19 dan 33 tahun telah bertemu dan memperdaya mangsa kononnya mahu membeli telefon jenis iPhone 8 Plus bernilai RM1,280 dan iPhone XR bernilai RM1,550 yang diiklankan menerusi Facebook, pada 4 September lalu.

Menurutnya, pada jam 4.30 petang, dua lelaki itu telah menemui mangsa di stesen minyak Caltex Paya Nahu untuk membeli dua telefon berkenaan dan resit RM2,830 telah diserahkan kepada suspek.

"Suspek yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero berjanji untuk buat bayaran ke dalam akaun mangsa selepas selesai urusan janji temu di hospital namun gagal dihubungi selepas itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Anuar, kedua-dua suspek itu ditahan pada Ahad dan seorang lagi suspek yang mengaku telah meminjamkan Mitsubishi Pajero bagi tujuan pembelian telefon bimbit itu turut ditahan.

Antara barangan yang dirampas termasuk sebuah telefon bimbit jenama iPhone 8 Plus, sebuah telefon bimbit jenama Oppo A53, kunci dan sebuah Mitsubishi Pajero.

Ketiga-tiga suspek direman pada Isnin di Mahkamah Majistret Kuala Muda untuk siasatan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan: