Waris MH17 dakwa Rusia berbohong

Pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.
Pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.
A
A
A

SCHIPHOL - Puluhan ahli keluarga 298 mangsa pesawat Malaysia Airlines MH17 yang jatuh ditembak di kawasan pemberontak di utara Ukraine pada 2014, memberi keterangan pada perbicaraan pembunuhan empat suspek dalam pelarian, yang didakwa melakukan serangan itu.

Ria Van Der Steen menjadi yang pertama daripada 90 ahli keluarga dari lapan negara, yang akan dibenarkan berbicara dengan hakim dan peguam defendan mengenai impak nahas itu kepada kehidupan mereka.

Van Der Steen menuduh Rusia berbohong mengenai dakwaan peranannya dalam insiden nahas pesawat berkenaan dalam keterangan yang diberikan semasa perbicaraan empat suspek.

"Mereka berbohong, kami tahu mereka berbohong dan mereka tahu bahawa kami tahu mereka telah melakukan pembohongan," kata Van der Steen, yang kehilangan ayah dan ibu tirinya dalam nahas berkenaan.

Kata-katanya itu juga memetik kata-kata penulis pembangkang Soviet, Alexander Solzhenitsyn.

Di bawah undang-undang Belanda, waris diizinkan untuk membuat pernyataan mangsa kepada pengadilan, tanpa diajukan pertanyaan.

Kira-kira 90 waris akan melakukannya dalam masa tiga minggu bermula semalam, sama ada melalui bersemuka atau pautan video secara langsung dari negara lain.

Sejak ayah dan ibu tirinya meninggal dunia dalam kejadian nahas Malaysia Airlines MH17, Van der Steen menghadapi konflik perasaan benci, dendam, marah dan takut.

Artikel Berkaitan:

Van der Steen memberitahu mahkamah mengenai mimpi buruk yang dialaminya sehingga menyebabkan dia sering terjaga di tengah malam.

Selain Van der Steen, warga Australia Vanessa Rizk yang kehilangan bapanya dalam nahas itu turut memberi keterangan secara panggilan video.

Rizk berkata, Presiden Rusia Vladimir Putin dan kerajaannya adalah penyebab kemalangan itu berlaku.

“Saya masih tidak dapat memahami kenapa keluarga kami terperangkap dalam krisis politik yang mengecewakan dan membunuh," kata Rizk yang turut menekankan ibu bapanya tidak pernah telibat dalam kancah politik namun menjadi mangsa.

Pesawat itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum ditembak misil darat ke udara Russia, seperti didedahkan pasukan penyiasat antarabangsa dan pendakwa raya.

Tiga warga Russia dan seorang rakyat Ukraine yang disyaki memainkan peranan utama dalam pasukan tentera pemisah, dibicarakan kerana membunuh.

Moscow menolak untuk menyerahkan suspek yang berada di Russia dan menafikan bertanggungjawab terhadap insiden itu, namun Kerajaan Belanda berpandangan Moscow bertanggungjawab.

Selepas beberapa tahun mengumpul bukti, sepasukan penyiasat antarabangsa menyimpulkan pada Mei 2018, bahawa pelancar misil yang digunakan adalah milik Briged Misil Anti-Pesawat Ke-53 Russia.

Semua suspek dalam pelarian itu dibicarakan sejak setahun setengah lalu.- Awani