Peniaga mengeluh harga ayam naik

Mohd sedang memproses ayam ke dalam tepung untuk digoreng di kedainya, Matt Orie Corner, Ladang pada Selasa.
Mohd sedang memproses ayam ke dalam tepung untuk digoreng di kedainya, Matt Orie Corner, Ladang pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengusaha restoran, kedai makan dan katering di negeri mengakui terpaksa berniaga dalam keadaan tertekan apabila harga ayam di pasaran dilaporkan naik secara mendadak dalam tempoh sebulan.

Rata-rata mereka mengeluh dan kecewa kerana ayam yang dibeli secara borong dengan harga RM5.80 sekilogram pada 1 Ogos meningkat kepada RM8 pada Selasa.

Pengusaha TY Cafe, Taoyebah Abd Aziz, 62, berkata, kenaikan harga ayam sebanyak RM2.20 dalam masa sebulan memberi impak kepada perniagaannya kerana makanan yang dijual tetap pada harga sama dan tidak berubah.

"Walau terpaksa menanggung kos, kita tidak boleh naikkan harga jualan kerana keputusan itu akan membebankan pelanggan. Saya bimbang jika harga terus naik, apa nasib kami sebagai peniaga," katanya.

Pemilik kedai makan Pak Awi Nasi Ayam, Muhammad Adam Zawawi, 27 mengakui terkejut dengan harga borong ayam mencecah RM8 sekilogram kerana pada kebiasaannya, kenaikan hanya berlaku apabila tiba musim perayaan.

Muhammad Adam Zawawi
Muhammad Adam Zawawi

Artikel Berkaitan:

Dia yang memerlukan 220 kilogram ayam sehari bagi operasi dua kedainya memberitahu, pihaknya tidak dapat mengelak dan terpaksa menyerap penambahan kos sekali gus menyebabkan keuntungan diperoleh semakin mengecil.

"Jika harga terus naik dan cecah RM9 sekilogram, saya mungkin terpaksa mengurangkan jumlah pekerja bagi meminimunkan kos operasi agar tidak menanggung kerugian," katanya yang mempunyai 20 pekerja.

Seorang lagi peniaga, Sharifah Mariam Shariff Along, 42 pula memaklumkan jika keadaan ini berterusan, dia mungkin akan mendapatkan bekalan ayam mentah dari Kelantan kerana harga di sana lebih murah.

Sharifah Mariam Shariff Along
Sharifah Mariam Shariff Along

Dia yang mengusahakan Restoren Kunyek dan katering Pinggan2 berkata, harga borong sekilogram ayam di Kelantan berharga RM5.50 dan dia memang mengambil bekalan dari sana sekali setiap bulan.

"Sekali pergi biasanya saya ambil stok sebanyak 500 kilogram dan bekalan akan disimpan di dalam bilik sejuk beku. Harga di sana memang murah dan jarang naik, paling mahal pun RM6 sekilogram," katanya yang menggunakan 100 ekor ayam sehari.

Dalam pada itu, pemilik Matt Orie Corner, Mohd Harun, 46 pula berharap kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pembekal tidak menaikkan harga sesuka hati selain memastikan harga ayam di pasaran stabil.

Mohd Harun
Mohd Harun

"Saya sebagai peniaga ayam goreng memang terkesan, kalau kita kecilkan saiz ayam, pelanggan akan mengadu. Jadi saya terpaksa tanggung tambahan kos,lebih-lebih lagi saat pandemik Covid-19," katanya yang telah mengurangkan kakitangan dari 50 kepada 15 orang di dua cawangan restorannya sejak tahun lalu.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Pasar Kedai Payang mendapati harga ayam runcit dijual pada harga RM9.50 sekilogram manakala borong RM8 dan peniaga memaklumkan mereka terpaksa menjual pada harga tersebut kerana harga yang diperoleh daripada pembekal sudah mahal.