26 gelandangan berjaya diterima bekerja

Zaiton
Zaiton
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seramai 26 gelandangan berjaya mendapatkan pekerjaan dalam sektor pelabuhan, perkilangan dan perladangan hasil daripada Program Temuduga Khas Golongan Gelandangan Khas 1.0.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat Johor, Zaiton Ismail berkata, temu duga khas itu merupakan usaha kerajaan negeri yang melakukan kerjasama strategik dengan beberapa agensi antaranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Program temu duga itu melibatkan enam majikan antaranya Kulim Malaysia Berhad dan Pelabuhan Tanjung Pelepas. Seramai 30 orang calon telah menyertai sesi temu duga tersebut.

"Hasilnya, 26 daripada mereka telah ditawarkan pekerjaan membabitkan 13 orang ditawarkan pekerjaan di Pelabuhan Tanjung Pelepas manakala 12 lagi mendapat pekerjaan sebagai operator pengeluaran dan seorang calon berjaya ditawarkan sebagai pekerja am ladang kelapa sawit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Datuk Md Othman Yusof (Kukup- BN) berkenaan isu gelandangan di negeri ini pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor yang ke-14 pada Selasa.

Zaiton yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang berkata, seramai 124 pengemis dan kutu rayau di negeri ini telah diselamatkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini melalui operasi bersepadu dan berjadual dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Operasi menyelamat orang papa (gelandangan dan pengemis) di sekitar bandaraya Johor Bahru fasa (wanita) telah dilaksanakan pada 4 Ogos lalu bersama 18 agensi kerajaan termasuk JKM.

"Hasilnya seramai 23 orang wanita gelandangan berjaya diselamatkan. Usaha menyantuni golongan gelandangan, kutu rayau dan pengemis akan terus dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu,beliau berkata, MBJB bersama dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Sounthern Volunteer sedang bergiat aktif melakukan kerja-kerja pemindahan peralatan keperluan serta penyelenggaraan di Pusat Perlindungan Sementara Gelandangan di Pusat Perlindungan Wanita, Taman Perling.

"MBJB juga sedang giat membangunkan Pusat Transit Gelandangan Johor yang dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan.

"Pusat Transit ini dibina di Taman Larkin Perdana dengan anggaran kos RM7.64 juta," katanya.