Pengembala lembu didakwa bunuh wanita

Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret (Munisipal) Butterworth pada pagi Selasa.
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret (Munisipal) Butterworth pada pagi Selasa.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pengembala lembu didakwa di Mahkamah Majistret (Munisipal) Butterworth di sini atas pertuduhan membunuh seorang wanita di sebuah rumah di Taman Seruling Emas, Sungai Bakap pada 28 Ogos lalu.

Tertuduh, M Kirubakaran, 29 didakwa membunuh Lee Ling Tee, 40 di rumah berkenaan di antara jam 3 hingga 4 pagi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aziana Azib.

Mahkamah menetapkan 8 November depan untuk sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat dan patologi.

Di mahkamah sama, tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan menggunakan dadah jenis methaphetamine dan amphetamine di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan sekitar 1 pagi pada 29 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, selain pengawasan selama dua hingga tiga tahun.

Majistret menetapkan tarikh yang sama bagi sebutan semula kes bagi menunggu laporan makmal tertuduh dan mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin berikutan dia berdepan dengan pertuduhan bunuh.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, tertuduh yang memakai berbaju T ungu tiba di mahkamah dengan diiringi anggota polis kira- kira jam 9 pagi.

Pendakwaan dijalankan di Mahkamah Munisipal di Butterworth berikutan Mahkamah Majistret Jawi sedang diubahsuai.