JAS belum terima laporan EIA cadangan pembangunan HSK Sungai Panjang

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak menerima sebarang Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) dari kerajaan Selangor berhubung cadangan pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kekal Sungai Panjang, Sabak Bernam.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebarang keputusan sama ada kerja-kerja pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kekal Sungai Panjang, Sabak Bernam wajar diteruskan atau tidak tertakluk kepada keputusan penilaian EIA.

"Penyediaan EIA di Malaysia merupakan keperluan di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang dikuatkuasakan JAS," katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya pada Selasa.

Tuan Ibrahim berkata, laporan EIA hendaklah disediakan oleh individu berkelayakan dan perlu menepati garis panduan yang ditetapkan JAS.

"Laporan EIA ini membolehkan penilaian terhadap impak ke atas kesan alam sekitar serta mencadangkan langkah yang perlu diambil untuk mencegah, mengurang atau mengawal kesan negatif terhadap alam sekitar dapat dilakukan," katanya.

Beliau berkata, KASA bersedia memberi konsultasi dan mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri Selangor bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu ini.

"Keutamaan KASA adalah untuk memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara lestari tanpa memberi impak yang negatif kepada alam sekitar," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya menyokong penuh pendirian Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang tidak bersetuju dengan cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) oleh kerajaan negeri Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Bagi KASA, pewartaan keluar HSKLU atau mana-mana hutan simpan yang ada di Malaysia akan menjejaskan sasaran 45 peratus pengurangan karbon intensiti (per keluaran dalam negara kasar) menjelang tahun 2030 di bawah Nationally Determined Contribution (NDC) negara yang dikemukakan kepada Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada tahun 2021," katanya.

Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 5 Mei lalu memutuskan 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyahwarta mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Keputusan itu menimbulkan polimik dan bantahan daripada pelbagai pihak termasuklah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk membatalkan perkara tersebut sejak setahun lalu.

Menteri KeTSA, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut berpandangan, penyahwartaan HSKLU akan menyebabkan kehilangan sebahagian daripada keluasan asal iaitu seluas 957.63 hektar.