X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

101 gelandangan di Sarawak terima suntikan vaksin

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A

SIBU - Sebanyak 101 gelandangan di Sarawak menerima satu dos vaksin Covid-19 dengan 42 daripada mereka sudah melengkapkan dos vaksin melalui Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan yang dilancarkan di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, mereka yang menerima vaksin itu adalah antara 121 gelandangan dikenal pasti untuk program terbabit.

“Matlamat kerajaan negeri Sarawak agar tidak ada rakyat ketinggalan daripada disuntik vaksin Covid-19 demi mencapai herd immunity (imuniti kelompok). Tidak kira siapa mereka dan di mana berada,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan program itu di sini pada malam Isnin.

Program berkenaan dilaksanakan di sembilan bahagian pentadbiran di Sarawak dengan kolaboratif bersepadu beberapa agensi kerajaan negeri dan persekutuan bermula 25 Julai lepas menerusi pelaksanaan operasi cerapan gelandangan di semua bahagian secara berkala bagi mendapatkan input.

Operasi vaksinasi di setiap bahagian adalah mengikut tiga kaedah bersesuaian dengan memberikan suntikan vaksin kepada gelandangan sama ada di pusat penempatan sementara gelandangan (PPSG), di pusat pemberian vaksin (PPV) atau secara bergerak.

Fatimah berkata, masalah gelandangan adalah rumit dan memerlukan pendekatan bersepadu, kolaboratif, kolektif dan holistik.

“Justeru, kerajaan negeri Sarawak meluluskan penubuhan Tempat Transit Gelandangan (TTG) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di bandar raya atau bandar-bandar besar yang mempunyai bilangan gelandangan ketara, khususnya di Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu,” katanya.

Beliau berkata, TTG berfungsi sebagai tempat transit bagi gelandangan membersihkan diri, makan malam dan tidur sebelum keluar keesokan hari untuk menjalankan urusan masing-masing.

“Di TTG juga mereka dapat diberi rujukan intervensi yang diperlukan untuk menangani isu dihadapi, menyertai 'social enterprise' disediakan serta diberi bimbingan dan kaunseling.

“Pembinaan projek TTG di Sibu setakat ini sudah 84 peratus dan dijangka siap pada penghujung September ini, sementara TTG Bintulu ditubuhkan di Rumah Tumpangan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) di Kampung Kamunting Bintulu,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!