X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

MAINJ agih 7,355 bakul makanan setakat Ogos

Tosrin Jarvanthi
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak 7,345 bakul makanan telah disalurkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kepada penerima di negeri ini setakat 31 Ogos lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, bakul makanan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta itu disalurkan di seluruh negeri dengan tiga daerah iaitu Johor Bahru, Muar dan Batu Pahat menjadi penerima tertinggi.

"Bantuan ini disalurkan melalui Pejabat MAINJ di peringkat daerah dan juga melalui amil-amil agihan zakat di setiap mukim.

"Bagi memudahkan masyarakat awam membuat permohonan bantuan ini, MAINJ juga menyediakan talian hotline di peringkat ibu pejabat, seterusnya tindakan bantuan ini akan dilaksanakan di peringkat MAINJ," katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Md Ysahrudin Kusni (PKR-Bukit Naning) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) ke-14 pada Selasa.

Tosrin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, bagi memperluaskan lagi agihan bantuan kepada mereka yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, MAINJ telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM3.53 juta.

"Sumbangan RM1.7 juta disalurkan kepada 341 gerobok rezeki yang terletak di masjid dan surau seluruh Johor dengan nilai RM5,000 bagi setiap lokasi.

"Sumbangan kewangan RM1.6 juta disalurkan kepada masjid dan surau yang terjejas terutama bagi menampung keperluan bil utiliti.

"Sumbangan sebanyak RM230,000 kepada Pejabat Daerah untuk tujuan gerobok rezeki. Sumbangan yang dilaksanakan ini berjalan setiap hari," jelas beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!