Nombor mikrocip tak sama, kucing British Short Hair ditahan Maqis

Kucing baka British Short Hair ketika pemeriksaan di kargo KLIA pada Ahad.
Kucing baka British Short Hair ketika pemeriksaan di kargo KLIA pada Ahad.
A
A
A

SEPANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan seekor kucing baka British Short Hair yang diimport dari Rusia selepas mengesan kesalahan nombor mikrocip pada haiwan itu ketika pemeriksaan di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.

Maqis Selangor dalam satu kenyataan berkata, kesalahan itu dikesan ketika pemeriksaan rapi pada dokumen Sijil Kesihatan dan fizikal haiwan tersebut pada jam 3 petang.

"Hasil pemeriksaan mendapati nombor mikrocip yang terdapat pada badan kucing tersebut tidak sama dengan dokumen pada Sijil Kesihatan yang diisytiharkan.

Kucing baka British Short Hair ditahan di KLIA pada Ahad selepas mikrocip pada badan haiwan berkenaan tidak sama dengan dokumen pada Sijil Kesihatan yang diisytiharkan.
Kucing baka British Short Hair ditahan di KLIA pada Ahad selepas mikrocip pada badan haiwan berkenaan tidak sama dengan dokumen pada Sijil Kesihatan yang diisytiharkan.

"Haiwan tersebut telah ditahan dan dikuarantin untuk tindakan selanjutnya," kata kenyataan itu pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, kesalahan mengimport haiwan kesayangan dengan mengisytiharkan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Maqis sentiasa teliti dalam melakukan pemeriksaan bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport bagi mengawal dan menjaga biosekuriti dan kawalan penyakit serta keselamatan makanan di dalam negara kita," katanya.

Artikel Berkaitan: