16 pangkalan hadapan siap sedia hadapi banjir di Jerantut

Pangkalan hadapan di Kampung Gusai Mukim Ulu Tembeling, Jerantut yang baru siap dibina sebagai persiapan bencana banjir.
Pangkalan hadapan di Kampung Gusai Mukim Ulu Tembeling, Jerantut yang baru siap dibina sebagai persiapan bencana banjir.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan sebanyak 16 pangkalan hadapan di daerah Jerantut termasuk enam daripada terletak di mukim Ulu Tembeling.

Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, setiap kampung di mukim Ulu Tembeling terdapat pangkalan hadapan yang menempatkan barangan makanan keperluan asas untuk digunakan ketika banjir.

Beliau berkata, apabila berlaku banjir dan semua kampung di mukim terbabit terputus hubungan, bekalan makanan yang diletakkan di pangkalan hadapan itu mampu digunakan sehingga dua minggu.

"Enam kampung terbabit ialah Kampung Pagi, Kampung Mat Daling, Kampung Bantal, Kampung Gusai, Kampung Bantal dan Kampung Kuala Sat.

"Dua pangkalan hadapan terletak di Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling merupakan yang baru dibina, sementara di Kampung Bantal serta Kampung Pagi dinaik taraf. Semua projek berkenaan di bawah Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Pada Isnin, Zulkhairi bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Mohd Zaidi Wan Isa; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman menghadiri Program Persediaan Bencana dan Penyelarasan Bantuan 1/2021 di Ulu Tembeling.

Turut diadakan pada program tiga hari itu ialah aktiviti ziarah dan agihan bantuan bakul makanan kepada golongan memerlukan di enam kampung terbabit menggunakan jalan darat dan sungai.

Sementara itu, Zulkhairi berkata, agihan lapan jenis barangan keperluan seperti beras, minyak masak, gula, tepung, biskut dan kopi kepada semua pangkalan hadapan di daerah ini akan dilakukan secara berperingkat bermula pada pertengahan Oktober depan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau berkata, agihan tersebut bergantung kepada ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Kalau diikutkan di daerah ini (Jerantut), terdapat sebanyak 96 pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk enam terletak di mukim Ulu Tembeling, manakala beberapa balai raya, dewan dan balai penghulu dijadikan PPS," katanya.

Zulkhairi berkata, pihaknya sudah bersedia menghadapi kemungkinan banjir termasuk menyediakan petugas serta sukarelawan membantu menyelaraskan PPS serta operasi memindahkan mangsa banjir.