'Ronaldo tidak mahu bermain sebagai penyerang'

Ronaldo
Ronaldo
A
A
A

CRISTIANO Ronaldo mungkin tidak akan bersetuju dengan cadangan pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer untuk meletakkannya bermain di posisi penyerang.

Perkara itu dinyatakan bekas pemain Itali dan juga West Ham United, Paulo Di Canio yang menyifatkan pemenang lima kali Ballon d'Or itu tetap mahu beraksi di posisi kegemarannya iaitu di bahagian sayap.

Ronaldo memulakan kariernya sebagai pemain sayap kiri termasuk ketika mula bermain bersama United pada tahun 2003.

Kemudiannya, dia berpindah ke Real Madrid dan mula diberikan peranan di bahagian serangan sebelum sepenuhnya bermain sebagai penyerang bersama kelab itu.

Di Juventus pula, Ronaldo sememangnya diletakkan sebagai sandaran di bahagian serangan, namun Di Canio yakin pemain berusia 36 tahun itu tidak mahu menjadi penyerang tunggal dalam pasukan United.

"Ronaldo akan memberikan banyak impak secara teknikal kepada pasukan, tetapi dia menyertai pasukan yang sudah mempunyai ramai penyerang dan pemain sayap.

"Solskjaer telah memberikan kemungkinan Ronaldo akan bermain sebagai penyerang tunggal, tetapi Ronaldo tidak mahu melakukannya ketika bersama Juventus.

"Saya masih melihat kemungkinan dia akan bermula di bahagian sayap kiri, tetapi pasukan itu mempunyai ramai pemain di bahagian tersebut termasuk Jadon Sancho yang masih bergelut untuk mencari rentak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ronaldo akan melakukan debut pertamanya bersama United pada Sabtu ini ketika The Red Devils melayan kunjungan Newcastle di Old Trafford.

Pemain kelahiran Portugal itu akan memakai jersi bernombor tujuh selepas Edinson Cavani bersetuju untuk menyerahkan nombor jersi tersebut dengan dia akan memakai nombor 21 - nombor yang dipakainya bersama pasukan kebangsaan Uruguay.