Yakin potensi penternakan ayam kampung kacuk

Mohd Nur Adzwan meninggalkan bidang insurans untuk mengejar impian menjadi penternak ayam kampung kacuk.
Mohd Nur Adzwan meninggalkan bidang insurans untuk mengejar impian menjadi penternak ayam kampung kacuk.
A
A
A

MINAT yang mendalam terhadap ternakan ayam kampung kacuk, mendorong Mohd Nur Adzwan Mahamad, 37, tekad meninggalkan kerjaya dalam bidang insurans.

Selepas lima tahun bergelar penternak muda, dia kini mampu berbangga dengan pencapaian yang dikecapinya kini.

Bermula dengan hanya 50 ekor, dia yang menetap di Kampung Parit Baru Ayer Baloi, kini menternak lebih 1,000 ekor ayam kampung kacuk.

"Minat mendalam terhadap ternakan ayam kampung membuatkan saya mengambil keputusan untuk menjadikan sebagai kerjaya sepenuh masa. Seterusnya menjadikan ternakan ayam kampung sebagai bidang komersial.

"Saya banyak belajar daripada ayah, Mahamad Samengon, 69, yang turut mengusahakan ternakan sama secara kecil-kecilan," katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini memberitahu, ayam kampung kacuk mendapat permintaan sangat tinggi terutama menjelang musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.

Mohd Nur Adzwan kini menternak lebih 1,000 ekor ayam kampung kacuk.
Mohd Nur Adzwan kini menternak lebih 1,000 ekor ayam kampung kacuk.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kelebihan ayam kampung kacuk, Mohd Nur Adzwan berkata, haiwan itu mengambil masa kira-kira 60 hari untuk matang sebelum boleh disembelih dan dijual.

"Ayam ini akan matang dengan berat antara 1.5 hingga 2 kilogram (kg) sebelum dijual segar atau diproses.

"Dari segi jualan saya turut gunakan media sosial seperti Facebook untuk tujuan promosi selain memudahkan pelanggan di luar Pontian mengetahui tentang jualan ayam kacuk kampung yang saya usahakan," katanya.

Katanya, kenaikan mendadak harga dedak ayam sejak setahun lalu memberi kesan kepada penternak terutama dari segi kos dan harga jualan.

Jelasnya, alternatif lain bagi dedak ayam yang menjadi makanan kepada ayam kampung kacuk perlu dicari supaya tidak terbeban dengan kenaikan harga dedak ayam yang disifatkan cukup membebankan.

"Pada tahun lepas harga bagi 50kg dedak ayam RM90. Boleh dikatakan hampir setiap bulan harga dedak akan meningkat. Bagi penternak kecil seperti saya, keadaan ini cukup merisaukan.

"Mujur ternakan ayam kampung kacuk dibuat kawasan kampung, jadi mudah untuk cari pucuk tumbuhan sebagai alternatif kepada dedak ayam," katanya.

Tambahnya lagi, setiap hari dia perlu memastikan ternakan sentiasa sihat untuk mengelak jangkitan terhadap ayam lain.

"Rutin harian bermula seawal pagi. Biasanya saya akan periksa ayam mengalami gejala simptom akan terus diasingkan. Kebersihan reban juga perlu dijaga. Selain itu, makanan ternakan perlu dipastikan cukup.

"Sekiranya saya dapat bantuan daripada pihak berkaitan, saya ingin membina reban tambahan dan menambah ternakan ayam kampung kacuk," katanya.

Mohd Nur Adzwan yakin industri penternakan ayam kampung kacuk mempunyai potensi cukup luas pada masa hadapan.

Ayam kampung kacuk mempunyai permintaan yang tinggi dalam pasaran.
Ayam kampung kacuk mempunyai permintaan yang tinggi dalam pasaran.

"Terdapat pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang membantu penternak seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

"Golongan muda yang hendak berkecimpung dalam bidang ini perlu ada kesungguhan. Lebih ramai yang terlibat dalam bidang ini secara tidak langsung membantu industri makanan sekaligus mengurangkan import makanan," katanya.