Masih ada ruang perkasa golongan OKU

Dua pemenang pingat emas, iaitu juara acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) Abdul Latif Romly (kiri) dan juara badminton perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Cheah Liek Hou (kanan) ceria mempamerkan pingat emas yang dimenangi mereka dari Temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
 Foto Bernama
Dua pemenang pingat emas, iaitu juara acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) Abdul Latif Romly (kiri) dan juara badminton perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Cheah Liek Hou (kanan) ceria mempamerkan pingat emas yang dimenangi mereka dari Temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
 Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu percaya masih ada ruang yang boleh diperbaiki dan dilakukan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) melihatkan pencapaian kontinjen Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Dalam ucapannya ketika menyambut ketibaan kelompok terakhir kontinjen Malaysia pada Isnin, Ahmad Faizal berkata, sebagai sebuah keluarga, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membantu golongan OKU dan usaha membangunkan atlet Paralimpik tidak hanya terletak di tangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Pendekatan secara holistik segenap lapisan masyarakat bermula dengan usaha sama serta kerjasama kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri.

"Sudah tiba masanya untuk ada pindaan kepada Akta Orang Kurang Upaya 2008 bagi mengambil kira dan merapatkan jurang sedia ada berdasarkan peredaran pesat yang dikecapi negara ketika ini demi memberi lebih kemudahan dan akses kepada golongan berkenaan. Lebih-lebih lagi apabila kita semua terpaksa berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19.

"Buat permulaan, saya mohon kepada semua pihak, sama ada agensi kerajaan atau swasta yang menyediakan perkhidmatan penting seperti bantuan kebajikan, perbankan, makanan dan peruncitan untuk memastikan perkhidmatan mereka, terutamanya di atas talian benar-benar dapat diakses secara menyeluruh dengan menitik beratkan kemudahan digital bagi golongan kurang upaya untuk menjalani urusan harian.

"Begitu juga dengan peluang pekerjaan di mana dasar satu peratus pengambilan pekerja golongan OKU di sektor awam dapat direalisasi sepenuhnya.

"Saya berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meningkatkan jumlah peluang pekerjaan kepada golongan OKU. Saya yakin sektor swasta akan mencontohinya juga apabila sektor awam dapat memenuhi dasar pengambilan pekerjaan dalam kalangan OKU.

"Inilah masanya untuk sektor swasta memainkan peranan dalam merealisasikan rasa cinta kepada negara," katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pada temasya Sukan Paralimpik kali ini, kontinjen Malaysia berjaya melakar sejarah baharu sejak kali pertama menyertai temasya berkenaan pada 1972 dengan membawa pulang tiga pingat emas dan dua perak.

Tiga pingat emas disumbangkan jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin, pemain badminton para, Cheah Liek Hou dan atlet lompat jauh, Ahmad Latif Romly.

Pingat perak pula hadir menerusi seorang lagi atlet powerlifting, Jong Yee Khie manakala Chew Wei Lun mencipta kejutan di gelanggang boccia.