Kongsi kepala lori, treler dalam kumpulan syarikat dibenarkan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan membenarkan penggunaan kepala lori dan treler yang dikongsi di bawah satu kumpulan syarikat sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk meningkatkan industri logistik menerusi daya saing dan kecekapan yang lebih tinggi.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, dasar itu antara lain melibatkan pegangan ekuiti syarikat induk dalam anak syarikat mestilah sekurang-kurangnya 51 peratus tertakluk kepada syarat-syarat lain yang berkaitan dan hanya terpakai kepada kargo kontena sehingga dimaklumkan sebaliknya.

Menurutnya, kepala lori atau treler yang akan dikongsi mesti berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk permohonan di Semenanjung Malaysia dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan di Sabah dan Sarawak.

"Pertukaran berat kepala lori dan treler yang dibenarkan sepatutnya berat paling rendah antara Berat Dengan Muatan (BDM) bagi semi treler atau treler atau berat gabungan kasar (BGK) kepala lori.

“Pelaksanaan dasar ini bertujuan untuk memperkasakan industri logistik bagi mengoptimumkan sumber sedia ada terutamanya dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar,” kata Kementerian Pengangkutan.

Kementerian itu menambah, syarikat akan dapat menjimatkan masa dan mengurangkan kos operasi antara 10 peratus dan 20 peratus dengan memendekkan kelajuan putaran kepala lori.

“Ia juga akan membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan kerana syarikat pengangkutan akan dapat mengurangkan perbelanjaan modal dan kos operasi.

“Pengurangan ini disokong oleh keupayaan syarikat pengangkutan untuk mengoptimumkan perkongsian sedia ada tanpa perlu menambahkan bilangan treler apabila ia dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Setakat kini, kementerian itu berkata terdapat 67,613 lori yang membawa muatan kontena di Semenanjung Malaysia, manakala 7,278 dan 1,467 lagi masing-masing di Sarawak dan Sabah. - Bernama