PKNS terus komited bina rumah mampu milik

Gambar hiasam
Gambar hiasam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus memberi tumpuan membina lebih banyak rumah mampu milik di Selangor bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Ishak Hashim berkata komitmen itu selari dengan hasrat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang ingin membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“PKNS yakin pembinaan rumah mampu milik yang dijenamakan sebagai Rumah Selangorku Idaman PKNS ini dapat merealisasikan kehidupan lebih baik kepada rakyat negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PKNS telah melancarkan Selangorku Idaman Residensi di Seksyen 6, Selangor Cyber Valley (SCV) yang mempunyai 864 unit termasuk empat unit orang kurang upaya (OKU) yang dijual pada harga RM232,000 seunit dengan keluasan 1,000 kaki persegi.

Bercirikan gabungan seni bina unik dan moden, setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta serta fasiliti seperti ruang pejabat pengurusan, surau, dewan serba guna, tiga unit ruang kedai, bilik pengurusan jenazah, taman permainan, ruang tadika, dan lif.

Ishak berkata pangsapuri dua blok itu dijangka siap pembinaannya pada Disember 2020 manakala jangkaan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) diperolehi pada pertengahan 2021.

“Selain itu, residensi ini terletak di pembangunan bandar pintar yang berdekatan dengan lebuh raya utama, pusat beli-belah dan institusi pendidikan yang pastinya menjadi faktor utama untuk bakal pembeli sebelum membuat keputusan pembelian sesebuah kediaman dan hartanah,” katanya.

Beliau berkata SCV yang terletak berdekatan Cyberjaya dan Putrajaya, merupakan pusat pertumbuhan baharu ke-11 dibangunkan PKNS dan dilihat mampu menjadi kawasan tarikan bagi peluang pelaburan dan perniagaan setaraf bandar di sekitarnya.

Artikel Berkaitan:

Ishak turut menggesa penduduk di Selangor yang mahu memiliki ruman mampu milik PKNS mendaftar dengan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) kerana PKNS hanya menerima senarai nama pemohon daripada LPHS yang telah diperakukan Jawatankuasa Pemilihan Senarai Nama Pembeli Rumah Mampu Milik. - Bernama