PKR Kuala Pilah, AMK PD nafi hilang kepercayaan kepada Aminuddin

Antara ahli PKR Cabang Kuala Pilah yang hadir selepas selesai memberikan kenyataan berhubung dakwaan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusi MPN, Datuk Seri Aminuddin Harun di Pejabat PKR Kuala Pilah pada Isnin.
Antara ahli PKR Cabang Kuala Pilah yang hadir selepas selesai memberikan kenyataan berhubung dakwaan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusi MPN, Datuk Seri Aminuddin Harun di Pejabat PKR Kuala Pilah pada Isnin.
A
A
A

KUALA PILAH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Pilah menafikan kenyataan media yang mendakwa pihaknya hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Ahad.

Timbalannya, Shahran Kaat berkata, pihaknya tidak pernah memanggil sebarang mesyuarat ahli jawatankuasa bagi mengambil ketetapan cabang dalam isu tersebut.

"Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah bersifat peribadi Ketua Cabang PKR Cabang Kuala Pilah dan tidak melambangkan keputusan sebulat suara daripada ahlinya.

"Justeru beliau telah mengkhianati mandat yang telah diberikan kepadanya dengan membelakangkan pandangan dan suara ahli dalam membuat sesuatu keputusan yang membabitkan nama cabang di sini.

"Tindakannya itu juga menyebabkan kami hilang kepercayaan kepada beliau kerana gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua cabang yang harus berlaku jujur dan amanah," katanya dalam satu kenyataan di Pejabat PKR Kuala Pilah pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kepimpinan tertinggi PKR NS hilang kepercayaan terhadap Aminuddin

Mengulas lanjut, beliau berkata, mendedahkan masalah dalaman parti kepada media dan umum merupakan perbuatan tidak bermoral, ia umpama mendedahkan pekung di dada, sedangkan ada ruang dalaman parti yang boleh diusahakan.

"Akibat daripada kenyataan itu juga berlaku kegusaran dan kebimbangan dalam kalangan ahli PKR Negeri Sembilan selain membuka pintu kepada lawan politik malah mengambil peluang bagi menumbulkan kacau-bilau dan ketidakstabilan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Shahran berkata, tindakan mengeluarkan kenyataan itu juga wajar dilaporkan kepada Lembaga Displin Parti.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Port Dickson, Muhamad Affandi Abdul Malik turut menafikan pihaknya terlibat seperti mana yang didakwa dalam kenyataan media tersebut.

"Saya tidak terlibat dengan sesi sidang media yang dilakukan semalam (Ahad), malah kenyataan yang diberikan di luar pengetahuan saya. Selaku pimpinan sayap parti, saya menggesa segala permasalahan dalaman parti perlu dibuat melalui proses yang sewajarnya," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan kepimpinan PKR Negeri Sembilan sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan terhadap pimpinan Pengerusi MPN, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mereka terdiri daripada empat Ketua Cabang PKR iaitu Rasah, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah; tiga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang (Rembau, Rasah dan Port Dickson); dua Timbalan Ketua Cabang PKR (Seremban dan Rembau); Ketua Wanita PKR Negeri, Amni Idris; Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri, Rusnani Saring; Setiausaha Penerangan PKR Negeri, Madon Mislan; Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusuf Tapar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching dan mantan Ketua Jurulatih Jentera Pilihan Raya Negeri, Md Nordin Ismail.