X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Pertuduhan terhadap Abdul Azeez tidak boleh bertahan

Abdul Azeez - Foto fail Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini dimaklumkan bahawa pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tidak boleh bertahan kerana ahli politik itu merupakan pekerja Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Peguamnya, Amer Hamzah Arshad berkata, analisis laporan kewangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan Abdul Azeez adalah pekerja syarikat itu dan beliau menerima gaji yang sah serta membayar cukai pendapatannya.

"Saya berhujah memandangkan laporan ini tidak dicabar oleh pihak SPRM, mereka menerima fakta bahawa beliau (Abdul Azeez) adalah pekerja syarikat Menuju Asas dan menerima gaji yang sah,” katanya ketika berhujah di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said.

Beliau berkata, berdasarkan fakta ini, pihak berkaitan tidak boleh berbolak-balik kerana dari satu segi, mereka mengakui bahawa Abdul Azeez sememangnya makan gaji dengan syarikat itu tetapi pada masa sama, masih mendakwanya dengan pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti yang tidak sah daripada majikan.

"Perkara ini jelas tidak boleh bertahan meskipun tanpa perbicaraan penuh," katanya sambil menambah tiada satu pun pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Abdul Azeez boleh bertahan di mana-mana mahkamah.

Abdul Azeez, 55, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM5.2 juta yang mempunyai kaitan dengan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta yang didakwa diterimanya daripada syarikat Menuju Asas.

Bagi pertuduhan rasuah, beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010 dan Affin Bank, Puchong City Centre, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018 manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan perbuatan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abang Abdul Azeez iaitu Datuk Abdul Latif pula pada asalnya berdepan dua pertuduhan bersubahat dengan beliau menerima RM4 juta sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Bagaimanapun, Abdul Latif dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pada Februari susulan permohonan yang dikemukakan pendakwaan.

Pada prosiding hari ini yang dikendalikan secara maya, Amer Hamzah turut berhujah bahawa pertuduhan pindaan membabitkan pengubahan wang haram kekurangan butiran yang sekali gus menjejaskan keupayaan anak guamnya dalam mengemukakan pembelaan berkesan.

Beliau berkata, pendakwaan sepatutnya menyatakan dalam pertuduhan bentuk dan jumlah wang yang diterima oleh Abdul Azeez, contohnya secara tunai atau cek serta sama ada ia diberikan kepada secara terus atau telah dideposit ke dalam akaun bank.

Amer Hamzah juga berkata, pertuduhan terhadap Abdul Azeez mendakwa beliau secara rasuah telah menerima wang itu sebagai upah membantu Menuju Asas mendapatkan projek terbabit namun tidak menyatakan sebarang kesalahan rasuah yang dilakukan oleh anak guamnya.

"Tidak pula dinyatakan dalam pertuduhan itu bahawa perayu (Abdul Azeez) telah menggunakan kedudukannya bagi memastikan syarikat Menuju Asas akan memperoleh atau mempunyai kelebihan untuk mendapatkan projek terbabit," katanya.

Kamaludin kemudian menetapkan 6 Oktober ini bagi menyambung pendengaran rayuan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad untuk memasukkan isu yang dikemukakan oleh Amer Hamzah pada prosiding pada Isnin dalam hujah bertulisnya.

Aslinda memaklumkan bahawa tidak semua isu dimasukkan dalam hujah bertulis dan beliau ingin menjawab isu terbabit secara lisan namun panel mahkamah itu telah menyatakan mereka lebih suka jika pendakwaan menjawabnya melalui hujah bertulis kerana ia membabitkan isu penting. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!