Hubline raih kontrak SPR RM25.67 juta

No Image Caption
A
A
A

LAYANG Layang Aerospace Sdn Bhd (LLA), anak syarikat Hubline Bhd dengan kepentingan sebanyak 51 peratus berjaya memperoleh kontrak bernilai RM25.67 juta daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyediakan perkhidmatan helikopter dan pesawat bersayap kekal pada Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Dalam kenyataannya pada Isnin, Hubline yang juga penyedia perkhidmatan logistik marin dan udara serantau berkata, tempoh kontrak tersebut ditetapkan pada 26 Ogos, 2021 sehingga 25 Ogos, 2023, berikutan tiada penetapan tarikh sebenar pilihan raya tersebut berikutan pandemik Covid-19 ketika ini.

Mengikut kontrak itu, LLA bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan helikopter dan pesawat bersayap kekal berserta bekalan dan kelengkapan, persediaan pesawat dan anak kapal selain pelaksanaan jadual dan operasi pesawat.

“LLA juga disyaratkan untuk melaksanakan Program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTEGE) sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan serta mendapat kelulusan Sekretariat PROTEGE.

“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan Hubline bagi tahun kewangan berakhir 30 September, 2022 dan/atau 30 September, 2023,” kata syarikat itu.

LLA merupakan antara pengendali penerbangan awam terbesar negara ini dan turut menyediakan perkhidmatan doktor dan sewaan khas kecemasan, tinjauan udara, penerbangan sewaan atau tempah khas dan operasi menyelamat.

Ia turut mengendalikan akademi penerbangan dengan pangkalan utamanya terletak di Kota KInabalu, Sabah. - Bernama

Artikel Berkaitan: