Pemuda PH tetap sokong Aminuddin sebagai MB

Mohd Hanis
Mohd Hanis
A
A
A

SEREMBAN - Pemuda Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar sehingga tamat penggal ini.

Ketua Pemuda PH Negeri Sembilan, Mohd Hanis Alimin berkata, kenyataan media yang tular berkaitan 'Hilang Kepercayaan Terhadap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan' sejak malam tadi (Ahad) tidak mengganggu gugat kestabilan pemerintahan PH Negeri Sembilan.

"Sehingga hari ini, pengurusan pentadbiran yang dipamerkan adalah begitu telus dengan akauntabiliti yang cermat dan tidak berlakunya sebarang salah guna kuasa.

"Ini juga diperakui oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan melalui titahnya dalam sesi pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat lalu, bahawa kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun adalah sangat cemerlang dengan berusaha mengutip hasil ke paras yang membanggakan iaitu sebanyak 98 peratus, " katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada lsnin.

Beliau berkata, kerajaan Negeri Sembilan telah berusaha dengan gigih mengawal Covid-19 dengan mengeluarkan peruntukan sebanyak RM5 juta melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Penyelaras DUN.

Menurutnya, pihaknya berpendapat, krisis dalaman parti yang sedang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan merupakan perkara biasa.

"Diharapkan krisis ini dapat diselesaikan dengan harmoni dalam suasana kekeluargaan secepat mungkin agar fokus utama kerajaan negeri hari ini untuk mensejahterakan rakyat tidak akan terpesong jauh," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan kepimpinan PKR Negeri Sembilan sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin selaku Pengerusi MPN.

Artikel Berkaitan: